KUALA LUMPUR – Sekumpulan 25 Ahli Parlimen pembangkang meminta kerajaan melaksanakan semula moratorium bayaran balik pinjaman secara automatik bagi tempoh enam bulan seperti dilakukan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Menurut kenyataan bersama yang ditandatangani 25 Ahli Parlimen itu hari ini, inisiatif enam bulan moratorium secara automatik itu akan meningkatkan aliran tunai kepada sektor ekonomi.

“Dengan cara itu, individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan mempunyai lebihan tunai yang dapat membantu meningkatkan pendapatan semua jenis perniagaan serta menggalakkan mereka mengekalkan (pekerja) sepanjang menghadapi pandemik ini,” menurut kenyataan itu.

Menurut kumpulan berkenaan, PKS atau mereka yang tidak terkesan boleh meneruskan pembayaran pinjaman seperti biasa.

Mereka turut mencadangkan kadar subsidi upah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) iaitu RM600 setiap pekerja dinaikkan dan diberi kepada individu berpendapatan bawah RM4,000 serta melanjutkannya bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

“Subsidi upah bagi enam bulan menggalakkan majikan tidak membuang pekerja dan membantu mereka bertahan sehingga pertengahan tahun akibat penyusutan jualan dan aliran tunai,” menurut kenyataan itu.

Antara Ahli Parlimen mengeluarkan kenyataan bersama itu adalah Darell Leiking (Penampang), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar), Hannah Yeoh (Segambut) dan Yeo Bee Yin (Bakri).

Selain itu, Baru Bian (Selangau), Datuk Rozman Isli (Labuan) dan Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pulai). – BERNAMA

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading