Terkini

Program 5MY tumpu inisiatif kebajikan penduduk Wilayah Persekutuan – PM Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Isu kos sara hidup, kelangsungan hidup rakyat serta membasmi kemiskinan di Wilayah Persekutuan khususnya semasa COVID-19 menjadi tumpuan kerajaan melalui Program Kemiskinan Bandar (5MY), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata menerusi pelbagai pendekatan itu, Kementerian Wilayah Persekutuan melancarkan program MYJobs@Wilayah, MYGrocer@Wilayah, MYSchoolBus@Wilayah, MYMedic@Wilayah dan MYFood@Wilayah.

“Saya sedar akan realiti kesulitan yang berlaku dalam kalangan rakyat yang bertungkus-lumus membina semula dan meneruskan kehidupan. Kerajaan mengikuti dengan rapat keadaan yang berlaku bagi memastikan ikhtiar bantuan dapat disampaikan kepada golongan sasaran,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Wilayah Persekutuan 2021 yang disiarkan di stesen televisyen utama malam ini.

Perdana Menteri dalam perutusan itu turut melancarkan Program 5MY Wilayah Persekutuan secara maya.

Muhyiddin berkata kementerian itu juga bersikap proaktif dalam melengkapkan inisiatif kerajaan dengan melaksanakan program jaringan keselamatan sosial dan secara tidak langsung turut menyediakan inisiatif yang memanfaatkan rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan.

“Saya dimaklumkan pada tahun 2020 sahaja, lebih 35,000 orang dan ketua isi rumah serta 331 perumahan kos rendah di Kuala Lumpur telah menerima bantuan langsung melalui Program 5MY. Hal ini konsisten dengan penegasan kepada rakan-rakan menteri Kabinet supaya segala inisiatif kebajikan rakyat mestilah dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Perdana Menteri berkata program MYJobs@Wilayah telah menyediakan sehingga 3,259 pekerjaan di ibu kota iaitu 28 peratus lebih tinggi daripada sasaran asal dan inisiatif pengambilan pekerjaan itu adalah meliputi pelbagai sektor dan industri.

Bagi inisiatif MYSchoolBus@Wilayah pula, katanya, ia telah memberi bantuan kepada seramai 9,704 murid di 67 kawasan perumahan awam kos rendah yang melibatkan 94 pengendali bas sekolah.

“MYMedic@Wilayah pula adalah perkhidmatan klinik bergerak yang menyediakan perkhidmatan rawatan kesihatan asas secara percuma kepada warga kota yang kurang berkemampuan di kawasan perumahan kos rendah di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata MYGrocer@Wilayah pula adalah inisiatif yang berkonsepkan pasar bergerak ke kawasan perumahan kos rendah melalui penjualan barang basah dan keperluan harian pada harga lima hingga 20 peratus lebih murah daripada harga di pasar awam.

“Sehingga kini, trak MYGrocer telah bergerak ke 30 lokasi Perumahan Awam dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur. MYFood@Wilayah pula adalah konsep bantuan bakul makanan yang berisi keperluan harian kepada golongan miskin bandar dan kini telah memanfaatkan seramai 32,000 ketua isi rumah di Kuala Lumpur,” jelasnya.

Muhyiddin menarik perhatian, bagi menambah inisiatif murni ini, Kementerian Wilayah Persekutuan akan melipatgandakan usaha meneliti semula sasaran penerima bantuan bagi mengelakkan individu yang layak tidak tercicir tanpa mengabaikan penerima dalam kalangan penghuni PPR dan Perumahan Awam.

Dalam perutusan itu juga, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa sebanyak 5,750 kampit beras akan disumbangkan secara percuma setiap minggu kepada penduduk daripada kumpulan keluarga B40 di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, bermula hari ini.

Jelasnya, Program MYBerasWilayah itu digerakkan Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, sempena bulan sambutan Hari Wilayah Persekutuan ini, pelbagai aktiviti menggunakan platform maya telah dirancang, antaranya, ‘River of Life Virtual Run’ sempena ‘KL Pagi Bebas Kenderaan’ sebagai usaha membina institusi masyarakat yang informatif dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Muhyiddin berkata kerajaan juga akan meneruskan usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat dan menyediakan program perlindungan sosial yang komprehensif untuk memastikan golongan rentan dan berpendapatan rendah tidak tertinggal daripada arus pembangunan negara.

“Ini membuktikan melalui Belanjawan 2021 yang telah memberikan tumpuan khusus kepada inisiatif-insiatif membantu rakyat yang terjejas dengan pandemik COVID-19.

“Kerajaan Perikatan Nasional akan terus komited untuk melaksanakan visi Malaysia sebagai negara yang mampan, adil, saksama dan inklusif, sekali gus meningkatkan kemakmuran negara serta memastikan raktyat bersatu padu,” katanya.

Hari Wilayah Persekutuan disambut setiap tahun pada 1 Feb. Wilayah Persekutuan merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: