Terkini

Sultan Perak perkenan had maksimum 120 ahli jemaah bagi solat Jumaat, fardu mulai esok

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan supaya had maksima bagi solat berjemaah, solat Jumaat serta solat jenazah di semua masjid dan surau ditambah mulai esok, untuk memberi peluang kepada lebih ramai jemaah.

Ia termasuk di surau-surau yang terdapat di dalam kem tentera dan polis, bangunan pejabat, institusi, universiti, maktab, sekolah, syarikat dan kilang. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, Sultan Nazrin memberi perkenan itu setelah dipersembahkan perkembangan sejak dua sesi solat Jumaat lalu serta cadangan MAIPk berlandaskan nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, di samping pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Perak.

Menurutnya, had maksimum ditambah kepada 120 orang jemaah dalam sesebuah masjid atau surau bagi solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah (tidak termasuk ahli jawatankuasa dan pegawai masjid atau surau).

“Masjid Negeri (Masjid Sultan Idris Shah), Masjid Sultan Azlan Shah Ipoh serta Masjid Ubudiah Kuala Kangsar dan masjid-masjid utama di daerah-daerah, dibenarkan menerima had maksimum 250 orang jemaah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, masjid dan surau yang terletak dalam kawasan kem tentera dan polis, dibenarkan menerima maksimum 250 orang jemaah, seboleh-bolehnya diutamakan dan dibatasi kepada para anggota yang tinggal dalam kawasan kem berkaitan.

“Masjid dan surau yang terletak dalam kampus universiti, maktab, kolej dan politeknik, dibenarkan menerima maksimum 250 orang jemaah, seboleh-bolehnya diutamakan dan dibatasi kepada warga kampus,” ujarnya.

Mohd Annuar berkata, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) MKN dan KKM, semua aktiviti agama termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah tidak dibenarkan di masjid dan surau dalam kawasan-kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Beliau menambah, aktiviti agama berunsur ilmu dibenarkan diadakan di masjid dan surau dalam ruang waktu antara selesai solat Maghrib sementara menantikan masuknya waktu solat Isyak dan hendaklah dihentikan sebaik masuk waktu Isyak.

“Kuliah ilmu tidak melebihi 20 minit, dibenarkan untuk dianjurkan kepada jemaah yang berada dalam surau dan masjid sementara menanti azan solat Jumaat. Tidak dibenarkan sebarang acara jamuan dalam masjid dan surau termasuk di perkarangan masjid dan surau,” katanya.

Menurutnya, masjid dan surau juga diminta memperketat syarat-syarat jarak fizikal antara jemaah terutama aliran jemaah masuk dan keluar.

“Bagi memastikan jarak fizikal diamalkan dan untuk mengelak kesesakan yang diperhatikan sering berlaku ketika jemaah mencari kasut selepas selesai menunaikan solat, para jemaah dinasihatkan membawa beg menyimpan kasut yang membolehkan mereka membawa kasut ke dalam masjid dan surau,” ujarnya.

Mohd Annuar berkata, jemaah yang dibenarkan terbatas kepada warganegara Malaysia lelaki, berumur antara 16 hingga 70 tahun dan Jabatan Agama Islam Perak akan mengeluarkan garis panduan lengkap kepada semua ahli jawatankuasa serta pegawai masjid dan surau, di samping bertanggungjawab memantau pematuhan garis panduan.

Menurut beliau, Sultan Nazrin turut menzahirkan titah nasihat agar semua masjid dan surau menganjurkan solat sunat hajat secara harian, memohon ihsan dan rahmat daripada Allah agar bencana kesihatan yang sedang melanda dunia ketika ini berjaya dibendung dan kehidupan insan dapat kembali normal.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: