Kuala Lumpur – Norma baharu lantaran pandemik Covid-19 tidak menghalang anak seni untuk terus beraksi menghiburkan peminat sambil melahirkan sokongan terhadap perjuangan barisan hadapan negara.
Terbaharu, melalui konsert ‘ITSU 360 Care U’ yang bakal diadakan secara langsung dalam mod virtual pada pada 20 Februari 2021 jam 8 malam. Konsert yang diadakan di Mega Star Arena itu dianjurkan oleh Amazing Creative Group, disokong oleh Star Planet dan turut dijayakan oleh HK ATV dan Bigo Live sebagai rakan pengstriman.
Antara artis yang akan membuat persembahan adalah Ella, Sufian Suhaimi, Naim Daniel, Ernie Zakri, Arif Bahran, Aiman Tino, Syamel dan Dolla.
Konsert ini akan menonjolkan kelainan dengan penggunaan kamera 360 darjah yang unik dan pertama kali diperkenalkan di Malaysia. Ianya bagi memberi ekspresi berbeza dan kemeriahan untuk penonton seakan berada di lokasi konsert sebenar walaupun ianya ditonton secara maya.

Deric Mun Hoong Kit, PengarahJualan Serantau dan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat ITSU berkata, konsert maya secara langsung ITSU 360 Care U adalah kombinasi pelancaran kempen baharu ITSU 360 dan konsert amal. Ia boleh disaksikan dengan percuma oleh semua.
“Kempen ini bertujuan untuk menyebarkan perasaan prihatin dan penyayang di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya untuk pejuang barisan hadapan, di mana “ ITSU360 ”melambangkan perasaan prihatin dan penyayang yang menyeluruh dalam 360 darjah” katanya.
Menurut Frank Kee dari Amazing Creative Group, konsert ini diadakan bertujuan untuk mengumpul dana dengan sasaran RM500 ribu bagi disalurkan kepada barisan hadapan sekaligus menyuntik semangat dikalangan rakyat Malaysia.
“Tujuan utama inisiatif ini adalah untuk mengumpul dana bagi membantu para pejuang barisan hadapan yang terkesan teruk dengan situasi pandemik ini. Jumlah yang disasarkan adalah sebanyak RM500,000. orang ramai boleh menderma dengan mengimbas kod QR Touch n Go ewallet yang akan dipaparkan semasa siaran langsung konsert tersebut” katanya dalam satu sidang media secara virtual.
Konsert ini akan menampilkan sebuah lagu ikonik dwi-bahasa, Standing InThe Eyes Of The World yang bakal didendangkan oleh penyanyi asalnya, ratu rock Malaysia, Ella.
Menariknya, konsert ini juga menawarkan 10 buah kerusi urut untuk peminat yang bertuah.
