Bisnes

MCIS Life kerjasama dengan Merchantrade Asia bantu tenaga kerja asing terima perlindungan serendah RM1

Petaling Jaya – MCIS Insurance Berhad (MCIS Life), syarikat insurans hayat perintis di Malaysia sejak 1954, telah berganding bahu dengan Merchantrade Asia Sdn Bhd, perniagaan perkhidmatan wang terbesar di Malaysia, untuk menawarkan pelan perlindungan insurans hayat kepada rakyat Malaysia dan pekerja asing, dengan matlamat membawa manfaat secara khusus kepada golongan yang kurang diberi perhatian di Malaysia. Pelan baharu ini disediakan tepat pada masanya memandangkan pandemik Covid-19 yang masih menular dan kesukaran mendapatkan perlindungan insurans dan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berpatutan.

Semasa berucap di upacara majlis tandatangan untuk melancarkan kerjasama ini, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan MCIS Life, Prasheem Seebran, berkata, “Sesungguhnya kami percaya setiap insan harus diberi peluang mendapatkan insurans hayat. Pekerja asing memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara ini. Oleh yang demikian, kita perlu memastikan segmen penduduk ini, yang bekerja seiring rakyat Malaysia, mempunyai capaian yang saksama kepada perlindungan kewangan pada masa yang tidak menentu. Langkah ini amat penting untuk memberi mereka ketenangan minda.  Setakat ini, kami telah membayar tiga tuntutan berjumlah RM16,000 kepada penama yang berada di negara asing, dan diproses dalam masa lima hari bekerja.”

Menurut perangkaan terkini daripada Persekutuan Majikan-majikan Malaysia, terdapat kira-kira 2.3 juta pekerja asing berdaftar di Malaysia, yang mewakili  kira-kira tujuh peratus daripada  32.7 juta penduduk Malaysia.

Seperti yang dicerminkan oleh janji jenama MCIS Life, “People Helping People”  atau “Insan Membantu Insan”, syarikat insurans hayat terkemuka ini ingin memainkan peranan lebih besar dalam kalangan penduduk Malaysia yang lebih luas dengan menyediakan perlindungan dan bantuan bersama kepada semua segmen penduduk. Prasheem menerangkan, “Pelan insurans hayat baharu ini dirangka supaya mampu diperolehi, pada harga dari serendah RM1 sebulan, menjadikannya pelan insurans hayat yang memberikan nilai wang paling besar di negara ini. Tambahan lagi, pelan ini melibatkan proses tuntutan yang tidak rumit dan mudah didapati menerusi rangkaian Merchantrade Asia yang luas.

Pelan insurans hayat mikro ini diunderait oleh MCIS Life, dan diedarkan oleh Merchantrade Asia di bawah pelan “Merchantrade Insure Life.

Pelan ini menawarkan manfaat berikut:

·         Jumlah diinsuranskan fleksibel dengan premium bulanan serendah RM1 bagi Jumlah Diinsuranskan Asas sebanyak RM4,000

·         100% daripada Jumlah Diinsuranskan Asas  dibayar bagi kematian hayat yang diinsuranskan atas semua sebab termasuk COVID-19

·         Jumlah Diinsuranskan Asas Berganda dibayar bagi kematian hayat yang diinsuranskan akibat penyakit tertentu termasuk demam denggi, demam Chikungunya, Malaria, Ensefalitis Jepun, Influenza  Burung atau virus Zika.

Pelan insurans mikro ini boleh didapati di kesemua 99 cawangan Merchantrade di seluruh negara dan juga menerusi aplikasi e-dompet Merchantrade Money, sekali gus meningkatkan capaian kepada penduduk yang kurang mendapat perkhidmatan asas serta rakyat Malaysia.

Dalam usaha menyokong misi MCIS Life untuk menyediakan perlindungan insurans dan kesihatan yang saksama kepada kumpulan masyarakat yang terpinggir di Malaysia, MCIS Life telah memperkenalkan pelan perubatan baharu bagi komuniti pelarian yang berdaftar dengan UNHCR, iaitu Agensi Pelarian PBB di Malaysia.

Pelan perubatan baharu ini, diedarkan oleh Merchantrade di bawah portfolio “Merchantrade Insure Medic”, membolehkan orang yang layak diinsuranskan menerima bayaran balik bagi tuntutan secara terus ke dalam e-dompet Merchantrade Money dengan had tuntutan sehingga RM6,000 setiap tahun. Pelan tersebut meliputi:

·         *Kos bilik dan penempatan harian Hospital Kerajaan,

·         *Unit Rawatan Rapi

·         *Yuran-yuran pembedahan dan perkhidmatan kemasukan ke hospital / Pembedahan Penjagaan Harian / Lawatan Pakar Perubatan Dalam Hospital,

·         *Rawatan pesakit luar –Kanser Pesakit Luar dan Dialisis Buah Pinggang Pesakit Luar.

*Tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat

“Pelancaran pelan perubatan terbaharu untuk golongan pelarian ini merupakan satu lagi mercu jaya pertama bagi MCIS Life. Pelan perubatan ini, yang satu-satu seumpamanya di Malaysia, menyediakan perlindungan kepada komuniti pelarian terhadap kos perubatan yang kian meningkat, dan pada masa yang sama mengurangkan beban terhadap sistem penjagaan kesihatan negara. Langkah ini adalah sejajar dengan misi MCIS Life untuk menjadikan perlindungan insurans hayat terangkum dan mudah dicapai oleh semua segmen masyarakat,” tambah Prasheem.

Mengulas mengenai kerjasama dengan MCIS Life, Pengarah Urusan Merchantrade Asia, Ramasamy K Veeran, berkata, “Kami teruja dengan pelbagai potensi yang boleh dimanfaatkan daripada kerjasama ini; langkah menyediakan produk perintis seperti ini meningkatkan kemudahan kepada masyarakat dan merapatkan jurang perkhidmatan. Kami berharap untuk menjadikan perlindungan insurans dan kewangan lebih mampu dimiliki dan mudah dilanggan bagi golongan yang kurang diberi perkhidmatan asas di Malaysia.”

“Di Merchantrade kami menyediakan sebuah ekosistem untuk perkhidmatan yang relevan menerusi kerjasama dan pakatan industri, dengan mencipta cara baharu untuk membolehkan perkhidmatan tersebut boleh dicapai olehsegenap lapisan masyarakat. Wawasan kami ialah untuk membawa kemudahan ke suatu tahap yang lebih baik dalam kehidupan seharian, baik kepada warga asing mahupun rakyat Malaysia”.

“MCIS Life telah berkhidmat kepada Malaysia selama lebih daripada 60 tahun, dan kami berbangga dengan sejarah warisan kami dan berusaha untuk terus menawarkan produk insurans inovatif ke pasaran,” rumus Prasheem.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: