KUALA LUMPUR- Cadangan bagi mewujudkan yayasan khas khusus untuk membantu petugas media yang kehilangan pekerjaan disebabkan pengecilan operasi disampaikan oleh Timbalan Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Jelasnya, cadangan itu masih di dalam perbincangan namun akan diusahakan segera dalam masa terdekat.

“Setakat ini melalui maklumat yang kita terima, terdapat lebih kurang 5,000 petugas media yang kehilangan pekerjaan sejak tahun 2019.
“Saya memandang serius perkara ini dan pihak kementerian sendiri perlu mengambil inisiatif bagi membantu semua bukan sahaja terdiri dari wartawan, malah petugas industri media yang lain seperti jurufoto, juruvideo, pekerja produksi, penyunting dan sebagainya” katanya.
Tambahnya, yayasan itu bukan saja berfungsi membantu bekas petugas media kehilangan kerja akibat pengecilan operasi malah kesan penularan COVID-19.

” Yayasan ini akan diwujudkan bagi kegunaan bantuan kebajikan petugas industri terbabit.
“Ianya akan diuruskan persatuan media dengan dibantu kerajaan. Kalau boleh, perlu ada campur tangan kerajaan kerana tanpa campur tangan kerajaan, kejayaan sukar dicapai” katanya dalam sidang media pagi ini.
Antara fokus yang akan diketengahkan adalah pengecualian cukai kepada mana-mana syarikat yang membantu yayasan ini.
Terdahulu, Zahidi mempengerusikan mesyuarat hampir dua jam bersama wakil kesatuan dan persatuan pengamal media, wakil portal termasuk bekas wartawan dan jurugambar.
Wakil Malaysianews TV turut hadir dalam mesyuarat yang dijalankan di pejabat beliau.
