Terkini

Boleh terawih di masjid, perlu patuhi SOP

Kuala Lumpur – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi ketetapan baharu solat Jumaat, solat fardu dan aktiviti pengimarahan masjid dan surau termasuk pada bulan Ramadan di Wilayah Persekutuan berkuat kuasa hari ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, menerusi ketetapan baharu itu, solat sunat terawih dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter selain dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dengan bacaan surah-surah pendek.

“Tazkirah tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan solat sunat terawih dan tadarus al-Quran boleh dilaksanakan dengan jumlah peserta separuh atau 50 peratus daripada kapasiti dewan solat utama dengan penjarakan fizikal 1.5 meter serta qiamullail boleh dilaksanakan 30 minit sebelum waktu imsak.

“Selain itu, pembayaran zakat fitrah secara manual atau pembayaran terus kepada amil dibenarkan di samping pembayaran secara dalam talian atau kaedah yang ditetapkan oleh Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” katanya dalam satu satu sidang media selepas program penyerahan sumbangan untuk 500 pemandu e-hailing dengan kerjasama MyCar.

Mohd. Ajib berkata, Jawi turut menetapkan jamuan berbuka puasa atau iftar tidak dibenarkan tetapi Jawatankuasa Kariah digalakkan memberikan sumbangan berbuka puasa kepada golongan yang memerlukan dan barisan hadapan secara berbungkus serta dihantar terus kepada penerima.

Jelasnya lagi, aktiviti moreh juga tidak dibenarkan tetapi Jawatankuasa Kariah boleh menyediakan makanan secara berbungkus selepas tarawih untuk dibawa pulang oleh jemaah.

Sementara itu, Mohd. Ajib berkata, bilangan jemaah bagi solat Jumaat diperluaskan ke semua ruang yang sesuai di masjid, surau Jumaat dan surau yang diberi kebenaran khas.

Beliau berkata, kebenaran itu adalah termasuk solat Jumaat di kawasan berkhemah dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

“Bagi solat fardu pula, bilangan jemaah bagi solat fardu adalah mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

“Selain itu, semua masjid dan surau di kawasan PKPB dan PKPP dibenarkan mengadakan aktiviti pengimarahan seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh, kuliah Dhuha dan sebagainya dengan penjarakan fizikal 1.5 meter,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: