Terkini

IJN buka fasiliti di Terengganu

KUALA LUMPUR- Institut Jantung Negara (IJN) akan membuka pusat perubatan jantung di Terengganu, fasilitinya yang pertama di luar ibu negara sejak ditubuhkan kira-kira 29 tahun lalu.

Penubuhan pusat perubatan jantung itu adalah menerusi kerjasama antara IJN dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang bakal membuka Hospital Pengajar UniSZA di Gong Badak, yang dijangka mula beroperasi secara rasmi pada suku pertama tahun depan.

Kerjasama antara kedua-dua institusi itu dimeterai hari ini menerusi majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) selama dua tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Holdings Sdn Bhd, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim, berkata menerusi MoU itu, IJN akan menyediakan perkhidmatan perubatan penyakit kardiovaskular dan torasik di Hospital Pengajar UniSZA.

Katanya, antara perkhidmatan yang bakal ditawarkan termasuklah saringan dan ujian jantung, siasatan diagnostik jantung, rawatan penyakit kardiovaskular dan torasik, serta rawatan kecemasan serangan dan kegagalan jantung.

Selain itu, katanya, IJN juga akan menempatkan pakarnya untuk melatih petugas perubatan di hospital universiti itu bagi membantu melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang kardiovaskular.

“Ini adalah pertama kali dalam sejarah IJN beroperasi di luar Kuala Lumpur sejak 1992, walaupun kita menerima pesakit dari seluruh negara.

“Menerusi pembukaan fasiliti pertama di Terengganu ini, IJN berhasrat untuk menambah baik akses pesakit kepada rawatan kardiovaskular berkualiti dan membawa perkhidmatan kami lebih dekat dengan pesakit, khususnya di pantai timur.

“Operasi IJN di Hospital Pengajar UniSZA bakal memanfaatkan kira-kira 30,000 pesakit dari negeri pantai timur yang selama ini mendapatkan rawatan IJN di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Aizai Azan yang mewakili IJN menandatangani MoU itu dengan UniSZA yang diwakili Naib Canselor universiti itu, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, yang disaksikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Aizai Azan berkata, IJN merancang menyediakan semua perkhidmatan yang ada di Kuala Lumpur, untuk ditawarkan di Hospital Pengajar UniSZA secara berfasa, bermula dengan rawatan pesakit luar bermula suku ketiga atau keempat tahun ini.

Katanya, UniSZA dipilih sebagai rakan kongsi pertama kerana universiti itu memiliki kualiti yang mampu melengkapi keperluan IJN, terutama dalam aspek penyelidikan.

“Selain UniSZA, kami juga ada menerima permintaan dari institusi pengajian lain untuk membuka IJN, dan kami berharap untuk memenuhi permintaan itu pada masa depan.

“IJN dan UniSZA akan berbincang lanjut mengenai perincian penyelidikan yang akan dilakukan dalam usaha menangani peningkatan penyakit kardiovaskular dalam konteks di Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Hassan Basri berkata MoU dengan IJN memberi ruang kepada kedua-dua pihak meneroka peluang perkongsian maklumat dalam pembangunan program pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, katanya, kedua-dua bakal meneroka penyelidikan pembangunan teknologi kardiologi, menempatkan pakar UniSZA untuk dilatih pakar IJN serta membolehkan universiti melahirkan pakar bedah kardiologi.

“Kewujudan IJN di Terengganu juga akan memanfaatkan penduduk di Kelantan dan utara Pahang yang memerlukan rawatan di IJN, dengan tempoh perjalanan lebih pendek (berbanding menuju ke Kuala Lumpur).

“Kerjasama ini juga akan memanfaatkan kira-kira 300 pelajar di Fakulti Perubatan UniSZA serta pensyarah kami yang berpeluang dilatih pakar kardiologi IJN,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: