Terkini

Tiada bukti kaitkan dana SRC dengan Najib – Peguam

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini dimaklumkan bahawa tidak ada bukti kukuh bagi mengaitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata tidak ada sebarang bukti yang boleh mengaitkan pemindahan wang itu daripada SRC International dengan apa-apa tindakan atau arahan anak guamnya.

“Dalam isu ini, tidak ada bukti yang boleh dipercayai dikemukakan bagi menunjukkan bagaimana dana RM42 juta itu dipindahkan daripada SRC International dan Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB) kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) pada 24 Disember 2014 serta 5 dan 6 Februari 2015.

“Pendakwaan juga tidak mengemukakan bukti mengenai individu yang menyebabkan dana SRC International itu dipindahkan. Itu adalah perkara paling kritikal,” katanya.

Muhammad Shafee berkata demikian ketika berhujah di hadapan panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara yang dijatuhkan ke atasnya bagi pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Peguam itu berkata kes pendakwaan ialah dana sebanyak RM42 juta telah dipindahkan daripada SRC International melalui surat arahan yang ditandatangani bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas Pengarahnya, Datuk Suboh Md Yassin.

“Keterangan SP42 (saksi pendakwaan ke-42 iaitu Suboh) berhubung sebarang representasi yang didakwa diberikan Nik Faisal atas permintaan atau arahan ‘pihak atas’ merujuk kepada Najib sebagai Penasihat Emeritus tidak boleh dipercayai. SP42 tidak menyatakan perkara sama di dalam lima kenyataan yang diberikannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Muhammad Shafee berkata, Suboh tidak konsisten dalam kenyataannya kepada SPRM berhubung isu sama ada beliau menandatangani sebarang surat transaksi.

Beliau berkata, ketika perbicaraan kes itu, pendakwaan mencadangkan kepada Suboh bahawa tandatangan Nik Faisal di surat itu boleh dipalsukan menerusi kaedah ‘potong dan tampal’.

“Mereka gagal menunjukkan bahawa beliau (Najib) mempunyai kawalan dan ini adalah satu perkara yang memusnahkan kes pendakwaan,” katanya.

“Pendakwaan juga gagal membuktikan bahawa RM42 juta itu adalah sebahagian daripada RM4 bilion yang dipinjamkan daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC atau daripada dana milik SRC,” katanya sambil menambah dapatan hakim perbicaraan bahawa apa sahaja dana yang dikreditkan ke dalam akaun SRC adalah milik SRC hanyalah tekaan semata-mata.

Muhammad Shafee berhujah tidak ada saksi yang memberi keterangan mengenai asal-usul RM42 juta itu.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana milik SRC International.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap pertuduhan CBT serta pengubahan wang haram dan 12 tahun serta denda RM210 juta bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Pendengaran rayuan itu bersambung esok.

– BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: