KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan Program Jualan Malaysia (PJM) 2021 yang memasuki edisi kedua tahun ini mencapai nilai jualan sektor runcit sebanyak RM120 bilion.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, PJM tahun lalu mencapai sasaran nilai jualan sektor runcit melebihi RM100 bilion.

“Tahun ini sasaran RM120 bilion dengan harapan nilai jualan lebih daripada itu. Kita mengambil pendekatan realistik dalam menetapkan sasaran ini,” katanya pada Majlis Pelancaran PJM 2021 Jom Shopping Hari Raya di pusat beli belah Jakel Mall di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin dan Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed.
Tambahnya lagi, PJM tahun ini akan memberi fokus kepada lima segmen perayaan terbesar termasuk Hari Raya Aidilfitri dari April sehingga Mei dan perayaan lain sepanjang tahun.

KPDNHEP mengambil keputusan peniaga yang membuat permohonan Notis Jualan Murah boleh terus melaksanakan aktiviti jualan murah tanpa perlu menunggu kelulusan.
“Untuk peniaga yang memohon notis jualan murah tidak perlu menunggu kelulusan yang memakan masa lama, selepas mohon sudah boleh terus menjalankan aktiviti promosi.

“Pihak kementerian akan menjalankan pemantauan dari masa ke semasa untuk memastikan aktiviti jualan itu tadi menepati syarat yang ditetapkan” ulasnya.
Jelas beliau, langkah itu bertujuan membantu sektor peruncitan negara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 untuk kembali pulih.
