KUALA LUMPUR – Pengusaha restoran mamak mencadangkan kerajaan supaya membenarkan lanjutan masa operasi mereka diubah ketika bulan Ramadan yang bakal menjelang.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan, mengharapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) melihat semula waktu operasi sepanjang Ramadan yang bermula Selasa ini.

Beliau berkata, dengan kelonggaran waktu operasi sehingga tengah malam, akan memudahkan pelanggan membeli makanan untuk bersahur.

“Presma ingin mencadangkan agar kerajaan melanjutkan waktu perniagaan yang dibenarkan sepanjang bulan Ramadan bagi memudahkan umat Islam membeli juadah bersahur dan berbuka.

“Dengan cara itu, kita semua boleh berpuasa di dalam tempoh PKPB dan PKPP tanpa banyak masalah kerana restoran yang menjual makanan muslim dibuka dan pihak pengusaha restoran tiada masalah untuk mengikut SOP yang ditetapkan.

“Ini kerana kami mendapat respon dan permintaan dari pelanggan yang meminta pihak restoran melanjutkan masa operasi bagi memudahkan untuk mendapatkan makanan sahur” katanya dalam satu sidang media.

Beliau turut menambah mengenai isu kelonggaran kepada pekerja asing untuk kembali bekerja selepas pulang bercuti ke negara asal sebelum ini.

Jelasnya, pihaknya mahu kerajaan meneliti semula cadangan membenarkan kumpulan itu masuk ke negara ini untuk kembali bekerja dengan pematuhan SOP yang ketat.

“Industri restoran di negara ini berdepan masalah kekurangan pekerja malah majikan sudah pun membayar penuh levi pekerja walaupun ada yang bekerja sekitar satu bulan dan balik ke negara asal.

“Dengan kebenaran ini, PRESMA berharap ia dapat membantu ekonomi domestik kerana sejak dibenarkan beroperasi baru-baru ini, industri ini kembali pulih secara perlahan-lahan dan memerlukan jumlah pekerja yang signifikan untuk operasi secara optimum” ulasnya.

Beliau ditemui dalam majlis makan malam sempena perasmian mesyuarat agong Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) kali ketiga yang diadakan di hotel Perdana malam tadi.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading