Terkini

Polis bongkar komplot 19 syarikat daging sejuk beku

JOHOR BAHRU – Polis membongkar kegiatan 19 syarikat pengedar daging sejuk beku import, termasuk yang diragui status halal, yang berkomplot mengedar lebih 1,000 tan makanan itu dengan mengaut keuntungan tahunan sehingga RM52 juta.

Polis membongkar kegiatan itu menerusi Op Kartel Daging yang dilancarkan di seluruh negara.

Pada masa sama, polis sedang mengesan dua dalang utama komplot itu berusia 42 dan 44 tahun, selain sudah menahan 36 suspek iaitu 34 daripadanya pengarah syarikat dan dua pula pengurus berusia 28 hingga 67 tahun dalam operasi yang dilancarkan pada 9 April lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata kesemua syarikat itu berkomplot dengan sebuah syarikat pengimport sah dari negara Brazil yang hanya layak mengimport sebanyak 27 tan daging bagi satu permit yang dikeluarkan.

Bagaimanapun, katanya, syarikat berkenaan hanya menggunakan empat daripada lima permit pengimport yang dikeluarkan bagi tahun lalu, selain didapati sudah mengedarkan kepada 202 pelanggan menerusi bukti invois yang dirampas.

“Polis menjalankanj siasatan lanjut susulan serbuan di gudang sejuk beku di Senai, pada Disember tahun lalu, sehingga membawa kepada lapan kertas siasatan dibuka dan tujuh pertuduhan terhadap tiga individu.

“Dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan peringkat Bukit Aman dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan di Kontinjen Johor.

“Siasatan bagi Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan menunjukkan tiada keterangan untuk menuduh mana-mana individu, namun siasatan di Kontinjen Johor sebaliknya mendapati wujud elemen yang menjurus kepada kesalahan pakat jahat jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Katanya, selain menerima bekalan dari syarikat tempatan, bekalan diterima syarikat itu dibungkus semula sebelum diedarkan, malah didapati menempah kotak berlogo halal untuk membungkus semula daging diimport dari negara Brazil dan yang diterima dari syarikat tempatan.

“Siasatan mendapati syarikat ini banyak menerima tempahan kerana menawarkan harga lebih murah antara 20 sen hingga RM1 sekilogram, selain memberi kemudahan pembayaran lebih mudah iaitu kredit selama tiga bulan berbanding syarikat lain yang menerima pembayaran tunai ketika serahan (COD).

“Syarikat ini juga mampu memenuhi permintaan pelanggan kerana sentiasa mempunyai stok mencukupi sedangkan siasatan mendapati syarikat itu hanya menggunakan empat permit bersamaan 108 tan daging.

“Siasatan mendapati kegiatan ini menyebabkan timbulnya isu keraguan status halal terhadap bekalan daging yang ada di pasaran, bukan sahaja memberi kesan kepada masyarakat malah daging yang dibungkus semula tidak dapat disahkan tahap kebersihannya dan tidak diperakui veterinar.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: