Terkini

Parlimen bersidang bila tiba masa sesuai – Takiyuddin

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan Parlimen akan segera dipanggil bersidang apabila tiba masa yang sesuai, kerana keutamaan ketika ini ditumpukan kepada usaha mengawal serta mencegah wabak COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menjelaskan seluruh jentera kerajaan sedang memfokus kepada tindakan imunisasi, rawatan, pengasingan dan pelan vaksinasi.

Selain itu, katanya, agensi penguat kuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), masih bertungkus lumus menjaga perbatasan tanah air daripada dibolosi pendatang asing yang membawa risiko penularan COVID-19 dari negara luar.

Beliau berkata, kerajaan mengambil maklum gesaan beberapa pihak, termasuk parti politik, agar Parlimen dipanggil bersidang walaupun negara masih berdepan pandemik COVID-19 yang belum reda sepenuhnya.

“Kerajaan amat menyedari tanggungjawab berperlembagaan untuk memastikan proses demokrasi terus berjalan di negara ini dan terjamin melalui sidang Parlimen.

“Bagaimanapun, keutamaan ketika ini ialah usaha memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dikawal sepenuhnya, termasuk melindungi aspek kesihatan Ahli Parlimen, pegawai dan semua pihak yang berurusan dengan Parlimen.

“Kerajaan memberi jaminan sidang Parlimen akan segera dipanggil apabila tiba masa yang sesuai, sama ada sebelum ataupun selepas darurat ditamatkan pada 1 Ogos nanti.

“Bagaimanapun, perkara ini akan bergantung pada nasihat dan pandangan pakar diperoleh kerajaan daripada semua pihak yang berkenaan, terutama Kementerian Kesihatan serta Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat, semalam, memutuskan untuk mendesak dan mengesyorkan kepada kerajaan supaya Parlimen serta Dewan Undangan Negeri kembali bersidang, selaras titah Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat.

Sebelum ini, gesaan sama turut disuarakan beberapa pimpinan dan parti politik lain, termasuk daripada komponen Pakatan Harapan (PH) serta Ahli Parlimen bebas.

Mengulas lanjut, Takiyuddin memaklumkan bahawa ketika darurat berkuat kuasa, semua pihak termasuk pembangkang, masih boleh menyalurkan sebarang pandangan kepada kerajaan melalui saluran dibenarkan.

“Ini termasuk melalui Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan menerusi Ordinan Darurat bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai hal berkaitan kuat kuasa darurat.

“Pada masa sama, tidaklah wajar wujud kesangsian atau syak wasangka bahawa berlaku salah guna kuasa, kerana sistem kerajaan berfungsi seperti biasa termasuk dalam aspek pemantauan pentadbiran oleh pihak penguat kuasa, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC).

“Justeru, semua pihak diminta supaya memberi sepenuh kerjasama kepada kerajaan dalam usaha giat demi memastikan kelangsungan hidup dan kehidupan rakyat melalui aspek kesihatan, ekonomi serta sosial,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: