SEREMBAN – Selepas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban 2 ditutup selama seminggu, empat lagi sekolah di Negeri Sembilan turut diarah berbuat demikian selama dua hari bermula hari ini berikutan ada murid dan guru dijangkiti COVID-19.
Jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) berkata, lima sekolah itu termasuk dua di daerah Seremban dan masing-masing satu di Batu Kikir, Jempol; Port Dickson serta Kuala Pilah.
Katanya, empat sekolah terbaru itu akan beroperasi semula pada Rabu ini.
“Setakat semalam, seramai 25 murid termasuk guru disahkan positif COVID-19, manakala lebih 200 individu dipanggil untuk membuat saringan.
“Bagaimanapun, beberapa keputusan ujian calitan saringan kontak rapat yang keluar adalah negatif.
“Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di semua sekolah dapat membantu mengekang penularan COVID-19,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, masih ada lagi keputusan ujian saringan yang belum diperoleh dan pihaknya berharap ia juga menunjukkan negatif.
Semua sekolah yang terbabit juga sudah disanitasi sebaik saja menerima laporan berkenaan.
Sementara itu, Pengarah JPNS, Md Fiah Md Jamin ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.
Beliau berkata, sekolah sentiasa mengamalkan pematuhan SOP yang ketat, malah langkah keselamatan turut diambil bagi memastikan pelajar dan guru tidak dijangkiti.
“Kita akan terus memantau dan mengambil tindakan berpandukan SOP ditetapkan bagi memastikan keadaan terkawal,” katanya.
Sabtu lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan belum ada keperluan untuk menutup semua sekolah di negeri itu walaupun berlaku peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan warga sekolah, namun kerajaan negeri akan terus memantau kes itu dari semasa ke semasa.