Luar Negara

Dunia digesa tekan Israel

KUALA LUMPUR – Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali mendesak masyarakat antarabangsa untuk memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan pencerobohan terhadap penduduk Palestin di Baitulmaqdis.

Tegasnya, serangan ke atas jemaah di Masjid al-Aqsa dan mengusir rakyat Palestin dari kawasan kejiranan Sheikh Jarrah, di Baitulmaqdis Timur, jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

“Setiap hari, apa yang berlaku di Baitulmaqdis adalah Israel melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi rakyat Palestin.

“Kami menuntut masyarakat antarabangsa serius tangani perkara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Walid juga menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab menggunakan kuasa yang ada untuk menghentikan kekejaman Israel.

“Mereka mesti meminta masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan menggunakan hubungan dua hala mereka dengan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) untuk memberi tekanan kepada Israel.

“Hanya AS dan EU yang dapat menekan Israel untuk menghentikan serangan,” katanya.

Walid berharap, perkembangan positif dicapai dalam mesyuarat khas OIC Selasa depan, yang antara lain bertujuan membincangkan rancangan Israel untuk memaksa puluhan keluarga Palestin keluar dari kawasan Sheikh Jarrah serta serangan berterusan terhadap masjid dan jemaah.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara atas kenyataan sebulat suara mengutuk kekejaman Israel.

“Malaysia sentiasa memberikan sokongan padu dan bersolidariti dengan Palestin. Rakyat Malaysia semua bersatu dalam isu Al-Aqsa dan Palestin,” katanya.

Menurut laporan media, sejak beberapa hari lalu rakyat Palestin di Baitulmaqdis bersama penduduk di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah mengadakan tunjuk perasaan di tengah-tengah serangan polis Israel.

Krisis itu berpunca daripada keputusan Mahkamah Pusat Israel di Baitulmaqdis Timur, yang membenarkan pengusiran tujuh keluarga Palestin dari kediaman mereka di kawasan kejiranan itu dan menyokong penempatan oleh pendatang Israel sejak awal tahun ini.

Pada Jumaat malam, polis Israel bertindak mengusir jemaah di pekarangan Masjid al-Aqsa menggunakan bom tangan dan gas pemedih mata sehingga menyebabkan ratusan rakyat Palestin cedera dalam serangan itu.

– Bernama


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: