Terkini

2 juta dos seminggu vaksin Pfizer tiba Julai

KUALA LUMPUR- Bekalan Pfizer-BioNTech yang selanjutnya membabitkan hingga dua juta dos seminggu, dijadualkan tiba di Malaysia pada Julai depan bagi membantu mempercepatkan usaha vaksinasi melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Menteri Penyelaras program imunisasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata sebanyak 559,000 dos AstraZeneca menerusi perolehan pelan peruntukan vaksin COVID-19 global, COVAX pula dijangka tiba pada hari ini untuk diagihkan kepada penerima berdasarkan konsep sukarela.

Selain itu, beliau berkata, jumlah dos sama vaksin terbabit dijadualkan tiba di Malaysia dalam tempoh beberapa hari akan datang, disusuli 600,000 dos lagi pada bulan depan.

“Vaksin AstraZeneca akan sentiasa dihantar kepada kita. Namun, bekalan paling besar ialah Pfizer membabitkan dua juta dos seminggu pada Julai depan, sekali gus akan banyak membantu mempercepatkan vaksinasi,” katanya pada program Selamat Pagi Malaysia, hari ini.

Selari peningkatan bekalan sehingga memacu kadar pemberian vaksin mencecah 80,000 dos sehari kini, Khairy Jamaluddin memaklumkan, keutamaan suntikan pelalian dalam tempoh beberapa minggu akan datang diberikan kepada golongan warga emas berikutan mereka berdepan risiko paling tinggi jangkitan COVID-19.

Justeru, beliau berkata, beberapa strategi akan diputuskan bersama melalui mesyuarat pasukan petugas khas untuk mempercepatkan proses imunisasi terhadap warga emas.

“Ia mungkin tidak dihebahkan, namun kita akan melaksanakan pendekatan unit bergerak. Minggu lalu, kita bermula dengan pusat jagaan warga emas di mana mereka tidak diminta untuk keluar ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Pasukan bergerak daripada Kementerian Kesihatan (KKM) akan dihantar ke pusat jagaan warga emas bagi melaksanakan vaksinasi di tempat berkenaan. Oleh itu, konsep sama boleh digunakan di tempat lain.

“Malah, saya sudah berbincang dengan Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan) mengenai pasukan bergerak daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Pasukan disertai jururawat dan doktor ini akan dihantar ke pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk melaksanakan vaksinasi, sekali gus tidak memerlukan warga emas keluar ke PPV,” katanya.

Mengenai konsep pemberian vaksin secara pandu lalu pula, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, simulasi berhubung usaha itu sudah dilakukan.

Beliau menjelaskan, sesi percubaan lanjut bagi konsep pemberian vaksin secara pandu lalu akan dijalankan di lokasi tertentu dalam tempoh terdekat.

“Kalau sudah bersedia, saya akan umumkan di mana konsep prototaip pandu lalu ini,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: