Kuala Lumpur – Kecewa tidak dapat mendaftar vaksin, orang ramai meluahkan rasa kecewa dan tidak puas hati melalui platform media sosial Jawatan kuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Malaysia (JKJAV) dan MySejahtera.
Permohonan pendaftaran vaksin Astra Zeneca yang bermula jam 12 tengahari tadi bagaimanapun menerima jumlah trafik agak tinggi sehingga menyebabkan gangguan teknikal.
Salah seorang pengguna Twitter, Alina Amir berkata, rakyat memahami dan tidak marah jika slot pendaftaran penuh namun apa yang mengecewakan adalah sistem web didapati statik dan tidak membolehkan pelayar menekan butang pilihan negeri.
“Kita bukan marah slot dah penuh. Kita marah sebab we were all there clicking away on green boxes that led us to nowhere, leading us on to nothing. The bloody false hope was the most kurang ajar part” tulisnya.
Dalam pada itu, antara masalah yang timbul apabila ramai yang tidak dapat meneruskan langkah pendaftaran kerana tidak dapat menekan butang pilihan negeri ditawarkan selain gagal menekan butang hantar setelah mengisi maklumat diri.
Pada masa sama, aplikasi MySejahtera turut mengalami masalah teknikal disebabkan aliran trafik tinggi yang menyebabkan ramai tidak boleh mengakses aplikasi tersebut.
Menurut Twitter Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Covid-19 (JKJAV), sehingga pukul 1 petang, lebih 300,000 tempahan janji temu vaksin AstraZeneca fasa kedua telah dibuat.
Jelasnya, orang ramai boleh mencuba untuk terus membuat janji temu kepada yang masih belum berbuat demikian.
Proses pendaftaran vaksin bagaimanapun ditutup sekitar pukul 1.30 petang.