RHB terus bantu pelanggan terkesan COVID-19

Published by

on

KUALA LUMPUR – RHB Bank Bhd akan terus memberikan bantuan pembayaran untuk kemudahan pinjaman dan pembiayaan kepada pelanggan, individu dan perniagaan, yang terjejas oleh pandemik COVID-19.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata bantuan itu untuk membantu mengurangkan beban kewangan pelanggan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perusahaan mikro.

“Walaupun tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 akan menjadi satu lagi tahun yang mencabar, kami menjangka untuk mencatatkan prestasi yang lebih baik berbanding prestasi kami pada tahun kewangan 2020.

“Kami akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan inisiatif strategi FIT22, seperti mengembangkan perniagaan kekayaan, mengukuhkan asas pelanggan PKS kami melalui ekosistem, meningkatkan bahagian dompet daripada permodalan besar dan kadar penembusan dalam segmen permodalan pertengahan,” katanya dalam kenyataan sempena mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-55, yang diadakan secara maya hari ini.

Bagi tahun kewangan 2020, RHB mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM2.03 bilion, merosot 18.1 peratus daripada tahun kewangan sebelumnya, berikutan kerugian pengubahsuaian bersih daripada moratorium yang diberikan kepada pelanggannya dan peruntukan kerugian kredit yang lebih tinggi termasuk peruntukan awal untuk potensi impak pandemik COVID-19.

“Inisiatif transformasi kredit dengan matlamat untuk meningkatkan pengurusan risiko kredit, masa pemulihan dan kualiti kredit akan turut ditekankan,” katanya.

Pada AGM, pemegang saham, antara lain, meluluskan pelan pelaburan semula dividen (DRP) yang memberi pemegang saham pilihan untuk memilih bagi melabur semula dividen tunai mereka dalam saham biasa baharu RHB Bank, dan berdasarkan penubuhan DRP, pemegang saham turut meluluskan dividen akhir peringkat satu sebanyak 7.65 sen sesaham bagi tahun kewangan 2020.

Bersama dengan dividen interim sebanyak 10.0 sen, jumlah dividen bagi tahun kewangan 2020 berjumlah 17.65 sen sesaham atau bersamaan dengan nisbah pembayaran 34.8 peratus.

-BERNAMA

Leave a comment

Blog at WordPress.com.