KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik susulan pelaksanaan Fasa Pertama penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi (total lockdown) bermula Selasa depan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui hantaran dalam Facebook, hari ini, memberi jaminan bahawa bekalan barang keperluan adalah mencukupi.
“Bertenang, jangan panik.
“Patuhilah SOP (prosedur operasi standard). Elakkan pembelian panik, bekalan barang keperluan tetap boleh dibeli dan dijamin mencukupi,” katanya.
Semalam, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi hingga 14 Jun depan untuk Fasa Pertama di seluruh negara.
Sepanjang tempoh itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi, kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).