KUALA LUMPUR – Hampir sejuta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan perusahaan mikro akan mendapat manfaat melalui Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM1,500 yang akan dibayar sebanyak dua kali mulai Jun.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan menambah kadar GKP daripada RM500 sebelum ini kepada RM1,500 bagi memastikan kelangsungan perniagaan khususnya buat PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka.
“Hampir sejuta PKS dan perusahaan mikro akan menerima RM1,000 pada pertengahan bulan Jun dan RM500 lagi akan disalurkan pada Julai,” katanya ketika mengumumkan inisiatif Program Strategik Memperkasakan Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Tambahan) malam ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, pembiayaan mikro kredit sebanyak RM1.5 bilion juga disediakan sepanjang tahun kepada peniaga kecil, penjaja jalanan termasuk perusahaan mikro oleh Bank Simpanan Nasional (BSN), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), MARA, SME Corp dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dengan kadar pembiayaan serendah tiga peratus.