KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan membincangkan situasi di Laut China Selatan bersama rakan sejawatnya dari China, Wang Yi susulan insiden pencerobohan ruang udara negara oleh 16 pesawat milik tentera udara China.
Mesyuarat dua hala itu akan diadakan di samping Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-China di Chongqing, China pada 7 Jun ini.
Perkara ini dimaklumkan oleh timbalannya, Datuk Kamarudin Jaffar pagi tadi.
“Menteri Luar akan berangkat ke China esok dan sekali gus membincangkan berkenaan insiden pencerobohan ruang udara Malaysia oleh pesawat tentera China yang berlaku baru-baru ini.
“Walaupun pada dasarnya, Malaysia mempunyai hubungan diplomatik yang baik dan bersahabat dengan China namun perkara ini sama sekali tidak boleh diambil mudah kerana ianya berupaya menganggu kedaulatan negara, wilayah dan integriti negara harus kita pertahankan.
Kita berharap satu perbincangan dua hala dapat dilakukan” katanya di pangsapuri Sri Penara ketika program sumbangan ayam bagi penduduk terlibat Program Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Pada Khamis, Wisma Putra telah memanggil Duta Besar China dan menyerahkan nota bantahan diplomatik susulan insiden pencerobohan di ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu pada Isnin.
Selain isu kedaulatan negara, kedua-dua menteri itu juga dijangka membincangkan beberapa inisiatif baharu bagi mengukuhkan kerjasama dua hala termasuk berhubung vaksin COVID-19, pembangunan infrastruktur, kewangan, ekonomi digital, pengeluaran makanan dan pertanian berteknologi tinggi.
Menerusi Mesyuarat Khas itu pula, Menteri-Menteri Luar ASEAN dan China akan berkongsi pandangan berhubung kerjasama dalam menangani penularan COVID-19, serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang lain.