KUALA LUMPUR – Sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) yang digunakan untuk mencegah pembentukan kluster COVID-19 baharu dihentikan sementara dalam tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin ketika ditemui mengesahkan perkara itu dan berkata ia akan disambung semula nanti.
HIDE mampu mencegah pembentukan kluster COVID-19 baharu sekiranya penyenaraian lokasi yang dikenal pasti diambil tindakan awal oleh pihak berkuasa, pemilik premis dan orang awam.
Menerusi HIDE, beberapa intervensi awal akan dilakukan penghantaran notifikasi kontak kasual menerusi aplikasi MySejahtera, kawalan pergerakan pengunjung atau pelawat dengan lebih ketat dan menghalang kemasukan mereka yang berstatus berisiko tinggi seperti yang terpapar di aplikasi MySejahtera.
Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam kenyataan berkata mana-mana premis yang tersenarai dalam sistem HIDE diarah tutup selama tiga hari berkuat kuasa serta-merta.