Luar Negara

Perbicaraan MH17 bermula dengan mendengar bukti

BADHOEVEDORP – Hakim Belanda dijangka memulakan perbicaraan terhadap tiga suspek warga Russia dan seorang rakyat Ukraine yang dituduh menembak jatuh pesawat MH17 milik Malaysia Airlines (MAS) pada 2014, dengan mendengar bukti hari ini.

Perbicaraan secara rasmi bermula Mac tahun lalu tetapi setakat ini masih di peringkat hujahan perundangan terutama mengenai penerimaan bukti berkaitan nahas yang mengorbankan 298 penumpang termasuk kru pesawat.

Empat suspek terdiri daripada tiga warga Russia, Oleg Pulatov, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta rakyat Ukraine, Leonid Kharchenko, dibicarakan tanpa kehadiran. Hanya Pulatov diwakili peguam.

“Mahkamah akan dibuka untuk perbicaraan jenayah MH17 dengan sewajarnya dan menerusi penelitian dan perbincangan kandungan fail pendakwaan, menjelaskan pertanyaan penting yang sudah mula ditangani.

“Adakah pesawat MH17 ditembak jatuh dengan peluru berpanduk BUK? Adakah peluru berpandu BUK dilancarkan dari ladang pertanian berhampiran Pervomaiskyi? Adakah tertuduh berperanan dalam hal ini?,” kata mahkamah dalam satu kenyataan.

Pesawat jenis Boeing 777 dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di bahagian timur Ukraine, wilayah dikawal pemberontak pro-Russia.

Siasatan antarabangsa membuat kesimpulan bahawa peluru berpandu BUK yang dimiliki Briged Peluru Berpandu Anti-Pesawat ke-53 tentera Russia, berpusat di bandar Kursk bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Keempat-empat suspek dituduh sebagai dalang utama dalam kalangan kumpulan pemberontak pemisah yang berperang dengan Kiew.

Perbicaraan diadakan di Belanda, dalam ruang mahkamah yang selamat berdekatan Lapangan Terbang Schipol kerana ia lokasi pesawat itu berlepas dan dalam kalangan jumlah terkorban, seramai 196 orang adalah warga Belanda.

Menurut mahkamah, pendengaran terhadap merit hari ini bermula dengan topik umum termasuk perkembangan siasatan oleh hakim pemeriksa, disusuli perbincangan selama tiga hari bermula esok.

Pihak pendakwaan dan pembelaan pula diberikan ruang serta peluang untuk membangkitkan isu ketika perbincangan berlangsung sehingga 9 Julai.

Menurut kenyataan sama, waris mangsa akan turut memberi keterangan di mahkamah pada September depan.

Bulan lalu, pasukan hakim mengunjungi lokasi rangka pesawat MH17 untuk pertama kalinya dan menyifatkan ia sebagai hari yang penuh emosi.

Rangka bahagian depan pesawat itu dibina semula dengan kerangka wayar di pangkalan tentera udara Gilze-Rijen di Belanda.

“Kami menyedari kunjungan ke lokasi pembinaan semula MH17 sebagai sebahagian daripada proses jenayah rasmi akan menjadi sangat emosi untuk ahli keluarga mangsa,” kata ketua hakim, Hendrik Steenhuis.

Menerusi video yang ditunjukkan di mahkamah pada November lalu, Pulatov berkata dia tidak melihat sebarang tanda peluru berpandu. – AFP

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: