Kuala Lumpur – Pendakwah terkenal, Ebit Lew yang kini difahamkan masih berada di Gaza dalam misi kemanusiaan memaklumkan bahawa beliau dalam keadaan baik.
Menerusi media sosial Facebooknya pada Sabtu, Ebit Lew turut memohon doa orang ramai agar semuanya berjalan dengan lancar.
“Doakan ya. Alhamdulillah semua dalam keadaan baik. Semoga menjadi asbab kebaikan,” katanya.
Pada 25 Mei, Ebit Lew dilapor berlepas ke Mesir untuk menjayakan misi bantuan kemanusiaan dengan menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaafar dalam satu kenyataan pada 26 Mei lalu berkata, misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang dirancang oleh delegasi Ebit Lew itu mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan Kementerian Luar Negeri sedang mendapatkan perkembangan terkini mengenai Ebit Lew yang dalam misi kemanusiaan bagi membantu rakyat negara terbabit.