LONDON – Kumpulan saintis Britain membangunkan sistem penggera yang boleh memantau dan mengesan individu dijangkiti COVID-19 dalam bilik termasuk yang tiada gejala.
Peranti yang dicipta syarikat berpangkalan di Cambridge, Roboscientific itu berfungsi dengan mengesan kimia dihasilkan oleh kulit atau pernafasan pesakit COVID-19, sekali gus memberi amaran awal untuk mencegah kemunculan kluster jangkitan.
Peranti yang boleh dipasang pada siling itu sama seperti sistem penggera kebakaran dan mempunyai tahap ketepatan melebihi ujian transkripsi songsang reaksi rantaian polimerase (RT-PCR).
Sistem itu dijangka amat bermanfaat kerana mampu mengesan jangkitan COVID-19 di ruang besar seperti dalam pesawat, kelas, pejabat dan rumah penjagaan dalam 15 minit, dengan ketepatan antara 98 hingga 100 peratus.
Peranti berharga £5,000 (RM29,000) setiap satu itu juga dilihat sebagai lebih menjimatkan berbanding penggunaan alat ujian pakai buang.
Ketika ini, alat berkenaan diuji oleh saintis di London School of Hygiene and Tropical Medicine (LSHTM) dan Universiti Durham, di mana kedua-duanya menunjukkan keputusan positif.
Ketua Jabatan Kawalan Penyakit LSHTM, Prof James Logan, berkata ujian klinikal dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.
“Kajian lanjut masih diperlukan tetapi analisis awal membabitkan 54 sampel berjaya menarik minat Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial United Kingdom (UK), yang mahukan kami meneruskan kajian.
“Saya percaya harganya boleh dikurangkan jika pengeluaran komersial bermula bagi peranti yang boleh dipasang di pelbagai premis dan keputusan dihantar terus ke komputer atau telefon bimbit,” katanya. – AGENSI