KUALA LUMPUR – Pharmaniaga Bhd dijangka melengkapkan obligasi kontraknya dalam membekalkan 12 juta dos vaksin Sinovac kepada kerajaan Persekutuan pada bulan depan yang mencukupi untuk diberikan kepada kira-kira 18 peratus penduduk Malaysia.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, vaksin itu telah diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan pengiktirafan itu mendorong keyakinan dalam perjuangan untuk memerangi pandemik.
“Kami optimis ke atas unjuran kumpulan pada tahun ini dan berharap prestasi tahun kewangan 2021 yang lebih baik dengan peningkatan berterusan bekalan vaksin Sinovac.
“Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan China baru-baru ini memberikan kelulusan segera kepada vaksin Covid-19 Sinovac untuk diberikan kepada kanak-kanak berusia tiga hingga 17 tahun dan penghasilan dua dos untuk setiap botol sebelum menyerahkannya kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk proses variasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersempena mesyuarat agung tahunan ke-23 dan mesyuarat agung luar biasa kumpulan itu yang dijalankan secara penstriman langsung pada Rabu.