KOTA KINABALU – Pelantikan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Suhaili Abdul Rahman menyandang lima jawatan dalam Majlis Amanah Rakyat (Mara) adalah atas kapasiti beliau sebagai Pengarah Eksekutif Mara Corp dan sebagai ahli pengurusan syarikat Mara Corp.
Ahli Bersatu Membakut, Awang Hazim Awang Basir berkata, pelantikan itu bukan suatu yang luar biasa serta pelanggaran integriti.
Menurut beliau, menjadi kelaziman untuk mana-mana pengarah eksekutif sebuah syarikat induk dilantik sebagai salah seorang pengarah dalam anak syarikatnya seperti mana berlaku di syarikat lain.
“Walaupun Suhaili merupakan ahli politik selaku MPT Bersatu, kewibawaannya itu diyakini dapat memberikan nilai tambah kepada pengurusan subsidiari tersebut.
“Ini apabila pelantikan yang dibuat bukan sahaja atas dasar ekonomi, malah turut mengambil kira faktor sosial apabila sebahagian besar aktiviti komersial syarikat berkait rapat dengan polisi kerajaan seperti pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.