Politik

Raja-Raja Melayu bertanggungjawab main peranan

KUALA LUMPUR: Raja-Raja Melayu bertanggungjawab memainkan peranan keperlembagaan ketika negara berada dalam keadaan genting, berikutan Dewan Rakyat dalam keadaan tergantung dan tiada pihak mempunyai majoriti membuat keputusan.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata peranan itu timbul selaras dengan Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong di hadapan Raja-Raja Melayu yang memilih baginda mewakili Majlis Raja-Raja Melayu.

“Peranan ini wujud selaras dengan sumpah jawatan itu ,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tengku Razaleigh yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO berkata, tanggungjawab ini memerlukan pemilihan seorang pemimpin tanpa kepentingan peribadi, parti politik mahu pun pertimbangan peribadi.

Katanya, pemimpin semestinya mempunyai kemampuan, keupayaan, visi dan pemahaman mendalam mengenai keadaan semasa, demi memimpin kerajaan yang mampu membantu kita mengatasi keadaan teruk yang melanda rakyat sekarang.

“Sekarang ini kita menghadapi krisis bertubi-tubi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Sistem ekonomi kita merudum.

“Kita mengalami krisis berkaitan dengan keperluan asas seperti bekalan makanan, keadaan kesihatan dan isu keselamatan.

“Kita ada dua pilihan, sama ada hadapinya dan selesai semua masalah atau menempuhi kegagalan,” katanya.

Menurutnya, semua sedia maklum kepimpinan mempunyai hubung kait rapat dengan kemajuan negara dan kehidupan rakyat yang baik.

Katanya, sejarah banyak merakam kegagalan kepimpinan dan tidak seharusnya kita memberi ruang kepada kegagalan.

Tengku Razaliegh berkata, kepimpinan negara masa kini amat penting kesannya terhadap cara hidup rakyat.

“Kita berada di dalam keadaan serba salah. Persoalan yang timbul apakah negara ini dapat meneruskan kedudukannya seperti keadaan terdahulu?

“Kepimpinan seperti yang terdapat pada masa lampau kini tidak relevan lagi kerana ia tidak dapat menangani pelbagai masalah berkaitan dengan ekonomi yang dihadapi serentak, termasuklah masalah pengangguran tinggi, kehilangan pendapatan dan kewangan semakin kurang untuk membiayai, sebagai contoh, makanan dan kesihatan.

“Keadaan sebegini tidak pernah berlaku pada masa lampau dan masa dulu keadaannya tidak serumit kini dan orang ramai lebih optimis tetapi kini mereka tidak lagi begitu,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, Perlembagaan Persekutuan dan institusi negara tidak terbentuk untuk meghadapi keadaan yang sedang melanda kita, sama ada institusi kenegaraan dapat menangani keadaan ini, suatu keraguan kerana mutu kepimpinan pada masa kini menjadi tanda tanya.

Katanya, ada tiga kekurangan Dewan Rakyat, yang ditauliahkan oleh Perlembagaan sebagai penentu muktamad untuk memilih Perdana Menteri daripada kalangan Ahli Parlimen.

“Dewan Rakyat kini tidak berfungsi secara menyeluruh oleh kerana sebahagian daripada wakil rakyat mempunyai kepentingan kewangan (sama ada secara terbuka atau pun secara senyap) dan hilang kelayakan mengikut Akta Majlis Parlimen (Kestimewaan dan Kuasa) 1952.

“Ada juga ahli yang tidak menepati peruntukan Perlembagaan berkaitan dengan pemilihan mereka dan ini penipuan terhadap Perlembagaan,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau menyatakan tidak ada peruntukan di dalam Pelembagaan atau mana-mana undang-undang untuk menyelesaikan masalah ini.

“Kini perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat mengenai keadaan semasa semakin tebal, walau pun ia tidak disuarakan oleh mereka.

“Gelombang sepi ini mencerminkan kehilangan keyakinan oleh rakyat terhadap pemimpin mereka. Kita tidak harus membenarkan keadaan ini membiak,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: