BERLIN – Doktor yang merawat pemain Denmark, Christian Eriksen ‘membuka mulut’ kepada media Jerman mengenai detik pertama pemain itu kembali ‘bernyawa’ selepas rebah ketika aksi pembukaan pasukan Denmark di Euro 2020.
Satu renjatan elektrik dilakukan terhadap pemain berusia 29 tahun itu selepas beberapa minit diberikan rawatan, kata doktor dari Jerman, Jen Kleinefeld dalam satu temubual bersama media.
“Kira-kira selepas 30 saat kemudian, pemain membuka matanya dan saya boleh bercakap dengannya secara langsung,” kata Kleinefeld.
“Itu satu detik yang menggembirakan kerana dalam situasi kecemasan seharian sebegitu, peluang untuk berjaya itu agak tipis.”
Kleinefeld berkata, dia melihat pemain tengah Inter Milan itu dan bertanya, ‘adakah kamu sudah kembali bersama kami?’.
“Eriksen menjawab, ‘Ya, saya sudah kembali bersama kamu’ dan ‘aduh, saya baru 29 tahun’,” kata doktor itu.
“Pada ketika itulah saya tahu, otaknya tidak terjejas dan dia sudah kembali (bernyawa),” katanya.
Eriksen bertindak balas dengan baik dan sedar sepenuhnya di stadium, namun Kleinefeld berkata, ia memerlukan masa untuk melengkapkan pemain berkenaan dengan setiap peralatan diperlukan bagi memastikan perjalanan yang selamat ke hospital.
Katanya, rawatan renjatan elektrik kebiasaannya memberikan kadar kejayaan lebih tinggi terhadap atlet profesional yang sihat, berbanding pesakit biasa yang sudah mempunyai simptom awal.
“Di stadium, saya 99 peratus pasti yang dia akan tiba di hospital dan kekal stabil,” katanya. – AFP