Terkini

Penerima vaksin Fasa Dua diutamakan

KUALA LUMPUR: Warganegara Malaysia berusia 60 tahun ke atas masih diberi keutamaan janji temu mendapatkan vaksin menerusi Fasa Dua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) walaupun pelalian fasa ketiga dipercepatkan.

Penasihat Sains kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Madya Dr Mohd Ghows Mohd Azzam, berkata semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) masih memperuntukkan janji temu untuk golongan sasar dalam Fasa Dua.

“Kita memulakan Fasa Tiga PICK di Lembah Klang hari ini dengan pembukaan PPV di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Ini bukan bermakna kita berhenti memberi suntikan vaksinasi kepada mereka dalam Fasa Dua.

“Kita masih memberi banyak janji temu kepada Fasa Dua, malah 707,000 janji temu dikeluarkan untuk tempoh hari ini hingga 30 Jun.

“Daripada jumlah itu, 253,000 janji temu untuk individu berusia 60 tahun ke atas, manakala 220,000 lagi bagi individu berusia antara 50 hingga 59 tahun.

“Insya-Allah, kita akan habiskan vaksinasi bagi Fasa Dua secepat mungkin,” katanya ketika diundang sebagai panel program ‘Ruang Bicara’ bertajuk ‘Fasa Ketiga Perisai Imuniti’ yang disiarkan secara langsung menerusi BERNAMA TV, hari ini.

Mohd Ghows berkata, PPV mega di Stadium Nasional Bukit Jalil dikhususkan untuk penerima Fasa Tiga, berikutan logistiknya kurang sesuai untuk penerima dalam kalangan warga emas.

Katanya, lokasi itu memerlukan mereka berjalan agak jauh dan naik serta turun tangga.

Mengulas jika wujud keperluan mewajibkan suntikan vaksin COVID-19, beliau yang juga pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Biologi Universiti Sains Malaysia (USM), berkata ia belum perlu kerana bilangan yang mendaftar adalah tinggi.

“Kita sudah melepasi 15 juta pendaftaran untuk vaksinasi dan ini merangkumi 64 peratus daripada penduduk berumur 18 tahun ke atas.

“Justeru, Malaysia boleh mencapai sekitar 65 peratus (yang berdaftar), soal sama ada perlu buat mandatori atau tidak perlu dilihat dulu kerana apabila makin ramai orang dapat vaksin, makin ramai yang mendaftar,” katanya.

Beliau berkata, sistem sedia ada tidak termasuk penduduk di pedalaman yang ingin divaksinasi tetapi mempunyai kekangan seperti akses terhad kepada internet, sekali gus belum mendaftar melalui MySejahtera.

“Apabila dilaksanakan program ‘outreach’ dan keluar ke kampung, ada jururawat naik bot dua tiga jam untuk ke kawasan pedalaman, maka penduduk ini sebenarnya mahu mendapatkan vaksin.

“Kalau dimasukkan kumpulan ini, kadar pendaftaran sebenarnya lebih tinggi,” katanya.

Apabila bekalan vaksin melebihi permintaan pada Julai atau Ogos ini, katanya, keperluan mewajibkan vaksinasi boleh dilihat semula.

“Saya harap tidak perlu ke tahap mandatori ketika ini kerana rakyat Malaysia bijak melihat vaksin ini berkesan dan tidak perlu memaksa mereka.

Mengenai cadangan kelonggaran merentas negeri yang mungkin memberi suntikan semangat untuk rakyat Malaysia menyokong PICK, beliau berkata, ia mungkin dikaji oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bulan depan apabila bekalan vaksin diterima mula meningkat.

“Kita lihat Thailand nak buka Phuket kepada individu yang sudah divaksinasi dan lebih 70 peratus penduduk di sana sudah divaksin,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: