Terkini

ProtectHealth galak lebih banyak fasiliti perubatan swasta sertai PICK

KUALA LUMPUR – ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) mempelawa lebih banyak fasiliti perubatan swasta di seluruh negara, untuk menyertai segera Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan berdaftar di laman web agensi berkenaan (ProtectHealth).

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Dr Anas Alam Faizli berkata, ia bagi memudahkan orang ramai untuk mendapatkan suntikan vaksin di klinik atau hospital swasta, yang berhampiran dengan rumah mereka selain meningkatkan kapasiti pemberian vaksin negara.

Beliau berkata, aplikasi MySejahtera akan menetapkan janji temu suntikan vaksin di lokasi paling hampir dengan alamat tempat tinggal individu yang berdaftar, bergantung kepada kapasiti vaksin dan waktu janji temu ditetapkan.

“Oleh itu, penyertaan lebih banyak fasiliti swasta tidak kira di bandar atau luar bandar, akan memudahkan orang ramai mendapatkan suntikan vaksin dengan tidak perlu melakukan perjalanan jauh,” katanya dalam temu bual secara dalam talian, Rabu malam.

Dr Anas berkata, setakat 21 Jun, hampir 700 klinik swasta dan 100 hospital swasta terlibat dalam PICK, dengan jumlah dos vaksin yang mampu diberikan sehari adalah sebanyak 40,000 dos.

“ProtectHealth menyasarkan supaya jumlah itu dapat ditingkatkan kepada 2,000 hingga 3,000 pengamal perubatan swasta, sebelum hujung Ogos,” katanya.

Dr Anas berkata, sasaran peningkatan jumlah fasiliti perubatan swasta terlibat dengan PICK sebelum akhir Ogos, adalah selaras dengan peningkatan bekalan vaksin Covid-19 yang dijangka diterima negara bulan depan.

Beliau berkata, peningkatan penyertaan klinik dan hospital swasta dalam PICK sebelum hujung Ogos juga, adalah bagi memenuhi kapasiti pemberian vaksin yang disasarkan mencecah 400,000 dos sehari, seperti diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

ProtectHealth adalah anak syarikat tidak berasaskan keuntungan milik penuh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan diberi mandat untuk mendaftar, memberi latihan, memantau kualiti, membuat analisis dan pelaporan, serta membuat pembayaran kepada semua pengamal perubatan swasta yang terlibat dalam program imunisasi itu.

ProtectHealth merupakan pelaksana penyertaan pengamal perubatan am swasta dalam PICK bagi memaksimumkan akses pengagihan vaksin Covid-19 dengan lebih meluas kepada rakyat.

– Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: