PUTRAJAYA – Sebanyak 4,327 kes jenayah siber dilaporkan pada suku pertama tahun ini membabitkan kerugian sebanyak RM77 juta.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah tersebut jauh meningkat berbanding tahun sebelumnya.
“Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2019, jumlah jenayah siber yang dilaporkan ialah 11,875 kes dengan kerugian sebanyak RM498 juta, manakala tahun lalu, ia meningkat kepada 14,229 dengan jumlah kerugian sebanyak RM413 juta,” katanya dalam ucapan perasmian Pameran dan Persidangan Keselamatan & Keselamatan Siber 2021 (CYDES 2021) yang berlangsung secara maya pada Isnin.
Muhyiddin berkata, walaupun selama tiga tahun terakhir jumlah kerugian berkaitan jenayah siber menunjukkan penurunan, namun jumlah kes yang terus meningkat amat membimbangkan.
“Ini membuktikan bahawa jenayah siber memang menjadi masalah yang memerlukan perhatian serius kita,” ujar beliau.