PUTRAJAYA – Kerajaan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra bagi meringankan beban kewangan ahli yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan tertakluk kepada jumlah simpanan ahli.
“Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian,” katanya semasa mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang disiarkan secara langsung pada Isnin.
Menerusi i-Citra seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan.
“Namun ia tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada Ogos ini.
“Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai,” katanya dalam Pengumuman Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), di sini.