PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana pihaknya sedar bahawa barangan keperluan asas penting kepada golongan yang memerlukan.
“Dalam soal menyampaikan bantuan kepada rakyat, saya mengambil sikap untuk mengetepikan perbezaan politik.
“Baik ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang, semuanya mestilah memikul tanggungjawab bersama untuk membantu rakyat di kala ramai yang sedang menanggung kesusahan,” katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang disiarkan secara langsung pada Isnin.