Terkini

Amirudin syor sektor ekonomi di Selangor ditutup sehingga PKPD tamat

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor mengesyorkan supaya sektor ekonomi dan industri yang tidak dibenarkan beroperasi sebelum ini, kekal ditutup sehingga tamat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ia susulan pengumuman, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang membenarkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi di lokaliti yang dikenakan PKPD di Selangor bermula kelmarin.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, membuat syor itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, berikutan jumlah kes COVID-19 yang tinggi direkodkan di kawasan dikenakan PKPD.

Berikutan itu, katanya, beliau mencadangkan supaya MKN mempertimbangkan untuk hanya membenarkan sektor yang perlu sahaja beroperasi di dalam kawasan PKPD.

“Jumlah kes yang tinggi di Selangor antaranya akibat saringan menyeluruh di kawasan PKPD yang menyumbang kepada kes kumulatif berjumlah 1,346 kes, serta saringan kontak rapat dari kes positif di PKPD.

“Dalam mesyuarat hari ini, saya telah mengesyorkan beberapa cadangan kepada MKN.

“Cadangan itu adalah mengekalkan penutupan sektor ekonomi dan industri yang telah ditetapkan sehingga tamat pelaksanaan PKPD,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Amirudin turut mencadangkan kepada MKN supaya vaksinasi kumpulan pekerja di Selangor dipercepatkan, dan kadar vaksinasi ditentukan sebagai antara faktor pembukaan sektor ekonomi.

“Kerajaan Selangor melihat matlamat pelaksanaan PKPD, iaitu bagi memutuskan rantaian wabak serta mengurangkan beban kepada sistem kesihatan negara, masih belum dicapai.

“Oleh itu, Kerajaan Selangor mencadangkan agar hanya sektor ekonomi yang perlu sahaja dibuka bagi pertimbangan MKN,” katanya.

Semalam, Selangor mencatat kes harian COVID-19 tertinggi di negeri itu dengan 4,152 kes, iaitu 47 peratus daripada keseluruhan 8,868 kes baharu di seluruh negara.

Sejak 3 Julai lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di 34 mukim di Selangor selama 14 hari sehingga 16 Julai depan berikutan negeri itu menunjukkan trend jangkitan tinggi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: