Terkini

Yayasan Peneraju komited lahirkan lebih ramai profesional bidang keselamatan siber

KUALA LUMPUR – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), memperluas program pembiayaan pendidikannya dalam bidang Teknologi sejajar inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) bertujuan memacu kemajuan negara sebagai ekonomi berasaskan teknologi maju.

Sebagai sebuah agensi yang menyediakan peluang yang lebih besar kepada bakat Bumiputera dalam bidang pendidikan dan kemahiran, Yayasan Peneraju baru-baru ini menawarkan pembiayaan bagi pensijilan profesional dalam bidang keselamatan siber ke arah melahirkan lebih ramai pakar bagi membantu meningkatkan tahap keselamatan siber di negara ini dan memacu Malaysia ke arah negara maju.

Usaha ini penting kerana Malaysia kini sedang rancak melaksanakan inisiatif MyDIGITAL dan telah mengenal pasti keselamatan siber sebagai komponen kritikal dalam menangani ancaman siber dan membangunkan ekosistem digital masa hadapan.

Mengulas mengenai program baru itu, Ts. Mohd Muzzammil Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, berkata bahawa Yayasan Peneraju merupakan salah satu badan penaja utama yang melahirkan Bumiputera bertauliah dan berkemahiran tinggi dalam bidang keselamatan siber.

“Malaysia memerlukan lebih dari 40% tenaga kerja profesional keselamatan siber untuk memenuhi permintaan tinggi dan kami mengisi jurang itu dengan menawarkan pensijilan keselamatan siber di bawah teras Peneraju Teknologi dengan menyasarkan kumpulan yang lebih luas merangkumi siswazah serta golongan yang sedang bekerja dan tidak bekerja,” tambah beliau.


Cybersecurity Ventures, penyelidik terkemuka di dunia bagi ekonomi siber global, dan sumber untuk fakta dan statistik keselamatan siber, menunjukkan bahawa pada bulan September 2020, Malaysia kini berdepan dengan senario kekurangan pekerja berpengetahuan dalam bidang keselamatan siber dengan hanya 11,498 pekerja dan bilangan ini masih belum mencukupi dengan melihat kepada jumlah pangkalan pengguna internet yang tinggi. Nisbah pekerja keselamatan siber kepada pengguna internet pada masa ini adalah 1 kepada 2,600 dan senario itu bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.


Pandemik COVID-19 telah memburukkan lagi keadaan dan mengekang bekalan tenaga kerja keselamatan siber dan meningkatkan lagi risiko serangan siber. Dengan penjenayah siber yang mengambil kesempatan terhadap ketidakpastian yang meningkat dan perubahan mendadak dari bekerja di pejabat kepada bekerja di rumah, keperluan untuk mempunyai tenaga kerja profesional keselamatan siber yang mahir menjadi semakin penting berbanding sebelumnya.

Aspirasi Yayasan Peneraju adalah untuk menjadi penghubung kepada kekangan tenaga kerja keselamatan siber dan berharap dapat melatih hampir 400 tenaga profesional pada akhir tahun ini untuk mendapatkan pensijilan keselamatan siber yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dari CompTIA dan Rocheston. Selain itu, Yayasan Peneraju juga menawarkan program penajaan teknologi lain seperti pensijilan dalam bidang Cloud
Computing, Big Data Analytics, SAP, Deep Learning Engineer dan Blockchain Fabric Developer.

Sebagai tambahan, inisiatif yang digariskan dalam MyDIGITAL menekankan komitmen Malaysia untuk memacu ekonomi digital negara tanpa mengganggu privasi pengguna dan keselamatan siber, dan mewujudkan persekitaran digital yang berdaya tahan bagi merealisasi agenda nasional itu.

“Kami berbesar hati dapat membantu memenuhi salah satu matlamat MyDIGITAL, iaitu melahirkan 20,000 bakat dalam bidang keselamatan siber menjelang 2025 untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang terjamin.

“Meningkatkan kualiti pendidikan ke tahap yang setaraf dengan negara maju adalah salah satu kunci untuk merubah negara dari ekonomi berasaskan tenaga buruh kepada ekonomi bernilai tinggi dengan status berpendapatan tinggi.


“Yayasan Peneraju menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan tahap kesediaan keselamatan siber negara seperti yang dinyatakan dalam Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2020-2024. Usaha seperti ini dilakukan bagi memenuhi tonggak ketiga MCSS dalam pemerkasaan inovasi dan teknologi bertaraf dunia dalam bidang keselamatan siber dan tonggak keempat iaitu meningkatkan kemampuan dan pembangunan tenaga kerja mahir dalam bidang keselamatan siber,” tambah Muzzammil.

Yayasan Peneraju diberi mandat untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat Bumiputera dalam ekonomi berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik, pensijilan TVET, profesional, teknologi dan spesialis. Agensi ini telah merealisasi aspirasi lebih 37,000 penerima faedah dari seluruh Malaysia melalui lebih 260 program pembiayaannya, dengan pengagihan peruntukan sebanyak RM822 juta dalam tempoh sembilan tahun.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: