Politik

Benarkah kenyataan Anwar menjurus kepada kerajaan perpaduan?

Kuala Lumpur – Yang di-Pertuan Agong telah menggesa ahli politik untuk bersatu bagi melawan Covid-19 dan menempa “politik baru”, menurut Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Bercakap dengan pemberita selepas sesi menghadap pemimpin parti politik dengan Agong hari ini, Anwar berkata semua yang hadir turut mencapai konsensus untuk menghentikan “politik lama”.

“Agong memulakan titah dengan kata-kata nasihat, peringatan bahawa negara dalam kemelut politik dan perlembagaan, dan harus bersatu untuk hadapi Covid-19 dan (memulihkan) ekonomi.

“Agong juga menyebut (peruntukan) perlembagaan (berkenaan) calon (perdana menteri) yang ada sokongan majoriti ahli parlimen, tapi bentuk politik kena berubah,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Anwar berkata pihak yang “menang” tidak boleh bertindak menekan “pihak kalah” seperti sebelum ini.

Selain Anwar, turut menghadap Agong hari ini adalah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin, dan wakil daripada GPS dan Warisan.

Turut serta adalah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, yang merupakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sesi menghadap hari ini susulan peletakan jawatan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri setelah hilang sokongan majoriti.

Menurut Anwar lagi, semua yang hadir perlu mencapai konsensus untuk menghentikan politik lama yang “melelahkan dan membosankan”.

“Kita akan jurus semula ke arah membangunkan.

“Isu bukan saja (berkenaan) pelantikan perdana menteri baru, tapi lebih penting seperti yang ditekankan Agong dan timbalan Agong adalah untuk menggagaskan satu bentuk politik baru yang lebih aman dan nyaman untuk rakyat,” katanya lagi.

Antara yang hadir hari ini, hanya Anwar yang bercakap dengan pemberita.

Tidak jelas sama ada Agong menitahkan satu pembentukan kerajaan perpaduan atau tidak – tetapi tafsiran itu tercetus ekoran kenyataan Anwar.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu hantaran Facebook, berkata semua parti politik perlu berkompromi untuk membentuk kerajaan perpaduan.

“Semoga semua parti politik dapat menerima baik titah dan saranan Agong agar berkompromi secara bersama membentuk kerajaan perpaduan demi menangani pandemik dan menguruskan kesejahteraan rakyat.

“Ini sekaligus dapat menurunkan suhu politik dalam negara,” katanya.

Hari ini Agong menitahkan ahli Dewan Rakyat untuk membuat akuan bertulis dengan menamakan calon pilihan sebagai perdana menteri.

Mereka diberi masa sehingga jam empat petang esok untuk mengemukakannya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: