Kuala Lumpur – Raja-raja melayu pada petang ini sekali lagi bertemu di Istana Negara bagi membincangkan berkenaan perlantikan Perdana Menteri ke-9.
Perlantikan tersebut bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan dan sejurus itu dilantik sebagai Perdana Menteri ‘caretaker’.
Ketibaan pertama menyaksikan Pemangku Sultan Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada jam 1.56 petang.

Selepas itu, Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pula tiba pada jam 2.14 petang dan seterusnya Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada jam 2.22 petang.
Sejurus itu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat tiba disusuli Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada jam 2.30 petang.
Dalam masa sama, satu kenderaan yang membawa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tiba pada 2.35 petang.

Keadaan hujan lebat di Istana Negara sama sekali tidak mematahkan semangat kepada petugas media untuk terus membuat liputan keberangkatan tiba Raja-raja melayu.
Difahamkan, siapa yang bakal memegang jawatan Perdana Menteri baharu itu akan diumumkan pada petang ini selepas tamat pertemuan Raja-raja melayu.