Kuala Lumpur – Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, ACP Sarifuddin Mohd Salleh menyatakan 88 lokasi dilencongkan di sekitar ibu negara.
Lencongan tersebut berikutan terdapat maklumat ada pihak yang merancang mengadakan perhimpunan atau perarakan.

Antara jalan yang terlibat adalah Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Loke Yew, Jalan Tun Sambathan, Jalan Bukit Bintang, Masjid Negara dan Bulatan Sultan Hishamudin.
Selain itu, Jalan Kuching, Susur Jalan Tun Razak, Jalan Sungai Besi, Jalan Istana dan Bulatan Sungai Besi turut dilencongkan.
Dalam kenyataan itu, pihak polis turut menasihatkan orang ramai agar mengelakkan melalui jalan-jalan berkenaan dan mematuhi arahan polis bagi memastikan keadaan terkawal.
Namun, sejak malam tadi tular satu pucuk surat bertarikh 18 Ogos 2021 dari Asraf Sharafi iaitu jurucakap Seketariat Solidariti Rakyat yang memaklumkan berkenaan pembatalan himpunan keluar dan #lawan yang telah dihantar dan diterima oleh Balai Polis Dang Wangi.

Surat tersebut juga memaklumkan pembatalan himpunan adalah sebab kerana tuntutan utama mereka yang inginkan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan telah pun tercapai.
Walau bagaimanapun, lencongan jalan raya dan penutupan beberapa stesen tren tetap diadakan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak diingini.