Kuala Lumpur – Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan rasa kecewa atas pemilihan jemaah kabinet Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau menjelaskan tidak ada sebarang perubahan pada barisan kabinet baharu dan ia sama sekali dengan kabinet ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
“Tidak ada perbezaan pada kabinet baru ini, orang yang sama juga dilantik.
“Orang yang tidak berjaya semasa Muhyiddin telah dilantik semula oleh Ismail Sabri” katanya.
Beliau turut menambah pemilihan seperti Datuk seri Shahidan Kassim juga tidak membawa apa-apa perubahan seperti yang diharapkan.
“Mereka boleh cakap tapi nak buat kerja saya dapati bahawa tidak ada tekanan berkenaan dengan bagaimana nak mengurangkan kes-kes Covid-19 ini.
“Kes semakin bertambah tapi asyik cakap pasal politik, nak kerjasama kononnya dengan parti lawan, macam-macam semua politik” tambahnya.
Tun M juga turut menambah, setakat ini masih tidak nampak tindakan diambil di waktu yang meruncing sedangkan rakyat semakin menderita dan ramai yang telah meninggal dunia disebabkan pandemik dan tekanan hidup.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pembentukan kabinet Ismail Sabri yang diumumkan pagi tadi.