Johor Bharu – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini bertemu dengan guru-guru yang menolak suntikan vaksin Covid-19 di Bukit Timbalan.
Antara yang hadir, YB Dato’ Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor, YB Dato’ Dr. Aman bin Rabu, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Mohd Noh bin Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Sohibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad, Mufti Johor (secara maya) dan Sohibus Samahah YB Dato’ Haji Ahmad Faisal bin Mohamed, Timbalan Mufti Johor.
Tunku telah mendengar ulasan dari para guru mengenai isu-isu yang mereka hadapi.

Tambahnya, daripada 779 orang guru yang asalnya menolak, didapati hanya 396 yang tidak mengambil vaksin atas sebab keraguan terhadap vaksin.
Selebihnya, membuat keputusan untuk menangguhkan buat masa ini, kerana mempunyai alahan, mengandung, ataupun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Difahamkan, sebahagian guru ini juga kini telah bersetuju mendaftar untuk mengambil vaksin.
Dalam perjumpaan ini juga, Tunku telah berkongsi info mengenai program vaksinasi dan situasi terkini pandemik Covid-19 di negeri Johor.

“Saya berharap guru-guru ini sedar tanggungjawab mereka untuk sentiasa mengetengahkan pembangunan modal insan dengan menjadi teladan yang baik dan berharap mereka akan mengambil vaksin sebelum sekolah dibuka semula demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.
Tunku turut menambah, harapan untuk memastikan imuniti kelompok dapat dicapai segera agar dapat membantu segera pengurangan kes kritikal dan kematian akibat Covid-19 dapat dikurangkan.