Kuala Lumpur – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini tidak bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melaksanakan semula sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Menerusi kenyataan bersama, PH menegaskan rakyat sangat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup dalam keadaan inflasi yang semakin tinggi serta pendapatan isi rumah yang berkurangan akibat pandemik Covid-19.
“Pengenalan semula GST bakal mengakibatkan harga barang meningkat dengan mendadak.
“Jika ditambah dengan masalah rantaian bekalan serta gaji yang tidak meningkat, rakyat akan
menerima tekanan yang amat dahsyat,” menurut kenyataan bersama oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Sabu (AMANAH), Anthony Loke (DAP) dan Madius Tangau (UPKO).
Baru-baru ini, Ismail Sabri ketika diwawancara bersama kumpulan media, Nikkei Asia di Tokyo dilapor berkata, Malaysia tidak menolak kemungkinan untuk melaksanakan semula GST.
Pemimpin Umno itu berkata, kerajaan berminat mengembalikan GST kerana mahu mengembangkan asas pendapatan negara dan menanggung beban subsidi awam.
Mengulas lanjut, pemimpin utama PH menegaskan adalah tidak munasabah untuk kerajaan bercadang untuk mengutip lebih banyak cukai daripada rakyat tanpa membuktikan terlebih dahulu reformasi dan penambahbaikan urus tadbir kerajaan telah berjaya dilaksanakan.
Tambahan pula, jelas PH, persepsi tatakelola serta urus tadbir kerajaan belum pulih akibat skandal 1MDB selain rekod Malaysia di tangga ke-62 dalam indeks persepsi rasuah Transparency
International serta kedudukan kedua dalam indeks kapitalisme kroni (crony-capitalism index) The
Economist.
“Tiada guna mengutip lebih banyak cukai jika akhirnya nanti duit rakyat dibazirkan akibat rasuah, ketirisan dan kronisme.
“Perdana Menteri juga perlu diingatkan bahawa majoriti rakyat Malaysia telah menolak GST dalam
pilihan raya yang lalu,” kata majlis tersebut.
Sehubungan itu, PH berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan cadangan memperkenal semula cukai GST selagi pelbagai isu masih terus membelenggu rakyat.
Untuk rekod, GST dengan kadar enam peratus kali pertama dikuatkuasakan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada April 2015 sebelum dimansuhkan pada 2018 sejurus PH menguasai Putrajaya.
Mengikut data, kutipan GST pada 2017 pada tahun terakhir kerajaan dapat membuat kutipan cukai penuh setahun mencecah RM44.3 bilion.
Walau bagaimanapun, blok pembangkang dan kumpulan pengguna menentang keras rejim percukaian yang telah memungut sebanyak RM133.1 bilion ketika pelaksanaannya itu hingga dikatakan menjadi faktor tumbangnya BN pada PRU-14.
Sepanjang tempoh pelaksanaan GST sebelum ini, kira-kira 597,000 orang yang berdaftar menggunakannya dengan sebanyak 12,000 jenis barang dikenakan cukai untuk GST.
Pungutan cukai GST juga lebih besar berbanding sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) memandangkan rejim cukai itu bersifat lebih menyeluruh, iaitu dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan pada semua peringkat.