SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan McDonald’s Malaysia hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) merasmikan kerjasama untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui Program Perantis McDonald’s. YB Senator Dato’ Dr Ahmad Masrizal Muhammad, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi telah merasmikan dan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian tersebut yang diadakan di Dewan Anjung Seri Budiman, UiTM Shah Alam hari ini.
Menurut Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor, “Program Perantis McDonald’s dan UiTM amat selari dengan agenda terkini UiTM bagi memperkukuhkan inisiatif kebolehpasaran graduan agar senada dengan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 Kementerian Pengajian Tinggi, di mana visinya adalah ke arah graduan holistik dan seimbang dengan nilai kebolehpasaran global”.
“McDonald’s Malaysia berhasrat memainkan peranannya sebagai sebuah syarikat terkemuka dengan menyokong dan melancarkan lagi pelaksanaan agenda negara melibatkan pembangunan belia. Tahun ini, McDonald’s terus menumpukan perhatiannya kearah kebolehpasaran belia, dan kami menyasarkan untuk menyediakan 50,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2026. Dengan pertumbuhan perniagaan McDonald’s di negara ini, kami membuka banyak peluang baharu untuk bakat-bakat muda. Kami komited untuk mengembangkan dan membangunkan tenaga kerja kami, memandangkan mereka adalah keutamaan jenama kami,” kata Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dalam ucapannya menyokong penuh inisiatif yang dilaksanakan oleh UiTM dan McDonald’s Malaysia, “Kriteria graduan yang holistik ini amat penting agar graduan yang dilahirkan dapat menepati landskap dan kaedah pekerjaan yang terbaharu agar dapat menjadi graduan profesional yang berkebolehan untuk mengembangkan ilmu, diri, masyarakat dan negara”.
Majlis yang dihadiri kira-kira 300 peserta itu turut diserikan dengan kehadiran 20 anak yatim dari Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari / Rumah Amal Bestari Shah Alam dalam program komuniti ‘Raikan Senyuman’ kerjasama antara UiTM dan Ronald McDonald House Charities (RMHC) yang turut diadakan serentak pada hari ini.