Gaya Hidup

AirAsia X kembali terbang tinggi, Kini lebarkan sayap ke London, Istanbul dan Dubai

KUALA LUMPUR – Sebagai permulaan era baharu untuk perkhidmatan penerbangan jarak jauh tambang rendah, AirAsia X (AAX) hari ini mengumumkan ia bakal terbang dari Kuala Lumpur ke London, Dubai dan Istanbul pada tahun ini. Pada masa yang sama, AAX juga meraikan pelancaran empat laluan baharu ke Jepun dan Hawaii yang akan mula dijual mulai hari ini.

Dengan pengumuman hari ini, AAX kini menawarkan penerbangan ke tujuh laluan popular dari Kuala Lumpur ke New Delhi, Sydney, Seoul (Incheon), Tokyo (Haneda), Sapporo (Chitose), Osaka (Kansai), dan daripada Osaka (Kansai) ke Honolulu. Semua laluan ini tersedia untuk ditempah bermula hari ini hingga 26 Jun 2022, untuk tempoh perjalanan antara 1 Julai 2022 dan 26 Mac 2023, bermula daripada RM499 (tambang sehala termasuk semua*) untuk tempat duduk ekonomi dan daripada RM1,499 untuk tempat duduk Premium Flatbed. 

Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif Capital A dan Pengasas AirAsia X berkata: “Hari ini merupakan hari yang bermakna kerana AAX telah kembali melebarkan sayapnya dengan semangat baharu. 

“Penyambungan semula empat laluan jarak sederhana popular dan pengumuman tiga perkhidmatan jarak jauh baharu pada hari ini merupakan satu lagi pencapaian yang membanggakan setelah kami melalui satu tempoh yang sukar dalam sejarah industri penerbangan.

“Kami teruja untuk kembali ke London dan melancarkan penerbangan buat pertama kali ke Dubai dan Istanbul.

“Istanbul adalah salah satu destinasi kegemaran saya dan saya tidak sabar untuk kembali ke negara itu tidak lama lagi. Kami yakin semua destinasi-destinasi ini akan menjadi popular dan kami mengalu-alukan semua tetamu terbang bersama kami.

Colin Currie, Presiden (Komersial) Capital A berkata: “Pengumuman hari ini menandakan era baharu untuk syarikat penerbangan AirAsia X yang akan menyambung semula operasi mereka selepas dua tahun, dengan penjenamaan baharu.

“Kini ia menawarkan nilai, pengalaman dan destinasi maksimum melalui penjenamaan baharu ini. Walau bagaimanapun, prinsip AirAsia masih tetap sama iaitu untuk memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi dengan tambang rendah biarpun ia kembali dengan wajah baharu, sekaligus memberikan peluang yang maksimum kepada semua untuk terbang ke destinasi impian mereka.

“Capital A akan terus menyokong AAX dan memanfaatkan sinergi di dalam ekosistem produk perjalanan dan gaya hidup yang luas daripada kami. Kami akan memanfaatkan sepenuhnya sumber yang kami ada termasuk airasia Super App, perniagaan kargo Teleport, cabang teknologi kewangan BigPay dan semua syarikat penerbangan di bawah AirAsia Aviation Group untuk membawa AAX ke tahap yang lebih tinggi.”

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail berkata: “Kami kini kembali dengan semangat dan jenama baharu. Kami telah memanfaatkan waktu sekatan perjalanan untuk menyemak semula setiap aspek operasi untuk menawarkan lebih nilai dan pilihan dalam perkhidmatan penerbangan jarak sederhana dan jauh.

“Kini dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa di seluruh dunia, kami dapat meneruskan operasi ke destinasi paling popular kami termasuk Australia, Jepun, Hawaii, India dan Korea Selatan terlebih dahulu.

“Pengumuman penyambungan semula empat laluan ke Jepun dan Hawaii serta pelancaran penerbangan ke London, Istanbul dan Dubai hanyalah permulaan. Kami mempunyai lebih banyak destinasi dalam perancangan yang akan kami umumkan tidak lama lagi untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

“Penyambungan penerbangan semula ke London serta penerbangan kali pertama terus ke Dubai bakal menjadi pemangkin perkhidmatan penerbangan jarak jauh bernilai hebat dan ia akan mula dijual tidak lama lagi untuk perjalanan menjelang akhir tahun ini.

“Melalui perkembangan perkhidmatan ini, kami akan terus menambah jumlah pesawat dan berharap untuk mengambil kembali para juruterbang serta kru kabin kami secara beransur-ansur.

“Saya yakin semua perkhidmatan kami yang disambung semula atau baharu ini akan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan kami akan kembali kepada kapasiti pra-Covid di beberapa laluan utama kami dalam tempoh 12 bulan akan datang.

“Model baharu kami yang strategik, iaitu menggabungkan perkhidmatan kargo dan penumpang memberi keuntungan kepada AirAsia X, di mana syarikat penerbangan lain mungkin tidak dapat melakukannya, menjadikan operasi untuk penerbangan ke laluan yang lebih jauh seperti Dubai, Istanbul dan London, dapat bersaing secara komersial dan lebih berpatutan kepada para tetamu kami.”

Jadual Penerbangan:

*Tambang termasuk semua cukai lapangan terbang, surcaj bahan api dan fi lain yang berkenaan. Tertakluk kepada terma dan syarat.

**Penerbangan ke Jepun dan Hawaii tertakluk kepada kelulusan pihak kawal selia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: