Kuala Lumpur – Seramai 9,696 daripada 407,097 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 memperoleh keputusan A dalam semua subjek yang diambil.
Perkara itu diumumkan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid yang memaklumkan 71,842 calon atau 18.80 peratus pula memperoleh keputusan sekurang-kurangnya kepujian.
bagi calon yang mendapat keputusan lulus, Nor Zamani berkata, seramai 129,796 atau 33.96 peratus, manakala 125,454 calon pula sekurang-kurangnya gagal satu mata pelajaran.
“Daripada jumlah calon menduduki peperiksaan itu juga, 43,703 bersamaan 11.44 peratus memperoleh keputusan kombinasi gred dan 0.43 peratus atau 1,655 calon memperoleh keputusan semua gagal,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan SPM 2021 di Putrajaya, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, Prestasi Gred Purata Nasional (GPN) SPM 2021 menunjukan penurunan, iaitu 4.86 berbanding 4.80 bagi SPM 2020.
Jelasnya, nilai GPN lebih rendah menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik, namun kementerian tidak membuat perbandingan kerana setiap calon mempunyai kekuatan masing-masing.
“Selain itu, calon SPM 2021 adalah kohort pertama menggunakan KSSM (Kurikulum Standard Sekolah Menengah), iaitu satu format baharu dalam mata pelajaran.
“Pelaksanaan KSSM ini bertujuan menyediakan calon dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai bagi memenuhi keperluan negara pada masa hadapan sejajar dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
“KSSM juga memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran abad ke-21 seperti komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis dan kreatif,” katanya.