Terkini

Buat pengesahan sebelum ambil pakej badal haji – Motac

Kuala Lumpur – Orang awam dinasihat membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum mengambil pakej badal haji berikutan timbul isu tawaran harga jauh lebih rendah daripada pakej dan permit dikenakan kerajaan Arab Saudi.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dalam kenyataan, berkata pihaknya mengambil maklum isu berkaitan badal haji yang ditawarkan pengusaha pelancongan yang begitu aktif terutama dalam media sosial sejak akhir-akhir ini.

“Kementerian amat memandang serius terhadap tawaran pakej yang agak meragukan memandangkan harga pakej yang jauh lebih rendah daripada caj pakej dan permit Haji yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Motac akan terus memantau perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) yang mana Seksyen 8(d) Akta 482 menyebut syarikat pengusaha pelancongan tidak boleh menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara iaitu boleh dikenakan penggantungan atau pembatalan lesen,” katanya.

Sementara itu, orang awam diminta waspada dan membuat pengesahan terlebih dahulu terhadap apa-apa pakej yang ditawarkan oleh pengusaha pelancongan.

Katanya, ia demi memastikan hak pembeli terpelihara dan hanya mempertimbangkan syarikat berlesen dari Motac sahaja.

“Senarai syarikat pelancongan yang berlesen dengan Motac boleh dirujuk di laman sesawang http://www.motac.gov.my/semakan/umrah,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan terdapat agensi haji dan umrah dikesan menawarkan khidmat mengerjakan badal haji musim dengan pelbagai pakej dan bayaran murah antara RM1,700 hingga RM3,000 seorang.

Tawaran harga itu bagaimanapun disifatkan meragukan serta tidak sepadan dengan beberapa peraturan ketat ditetapkan kerajaan Arab Saudi ketika ini.

Ini berikutan untuk mengupah penduduk bermastautin di Arab Saudi melakukan ibadah itu, mereka perlu mempunyai permit untuk memasuki Arafah dengan bayaran SR12,000 (RM14,000) seorang berbanding sebelum ini SR2,500 (RM2,900) saja.

Selain itu, terdapat gelang khas yang perlu dipakai jemaah haji untuk melepasi pintu di Arafah bagi mengelakkan lambakan jemaah haji keterlaluan.

Badal haji bermaksud ibadah haji yang diupahkan kepada seseorang untuk dilaksanakan sebagai ganti kerana adanya halangan tertentu seperti sakit, usia tua (uzur) atau kematian ke atas orang yang seharusnya mengerjakan haji.

Orang yang melaksanakan haji badal pula disyaratkan sudah melaksanakan haji untuk dirinya terlebih dahulu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: