Terkini

Biar TMJ saja uruskan Stadium Shah Alam – Jamal Yunos

Shah Alam- Stadium Shah Alam wajar diserahkan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) sekiranya kerajaan Selangor tidak lagi mampu menguruskannya, kata Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos.

Beliau berkata Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah terbukti berjaya dan sangat profesional dalam pengurusan stadium apabila Stadium Sultan Ibrahim yang ditadbir urusnya telah tersenarai antara stadium terbaik dunia mengalahkan Stadium Allegiant di Las Vegas dan Stadium Ahmad bin Ali di Qatar.

Jamal berkata, TMJ bukanlah satu nama yang boleh dipertikaikan lagi dalam tadbir urus stadium kerana beliau juga turut membantu dan menyumbang kepada Perbadanan Stadium Malaysia bagi memulihkan penyelenggaraan Stadium Nasional.

“Saya sangat yakin TMJ mampu menyelamatkan Stadium Shah Alam yang menjadi ikon pembangunan sukan Selangor untuk terus beroperasi berbanding keputusan gelojoh kerajaan Selangor untuk merobohkannya.

“Keputusan merobohkan itu bukan sahaja tidak bijak, malah sangat memalukan kerana stadium yang begitu besar dengan kapasiti lebih 80,000 penonton akan digantikan dengan sebuah stadium kecil berkapasiti 30,000 sahaja.

“Ia satu langkah ke belakang sedangkan Majlis Sukan Negeri Selangor sibuk merangka pelbagai agenda kemajuan sukan di bawah Program Generasi Muda dan Sukan untuk  memacu kecemerlangan sukan negeri itu di masa depan,” katanya menerusi kenyataan.

Jamal turut mencadangkan agar kerajaan Selangor memilih lokasi lain sekiranya benar-benar berhasrat membina stadium baharu yang lebih ‘comel’ dan kecil, manakala Stadium Shah Alam wajar dibiarkan terus gah di situ di bawah pengurusan TMJ.

Menurut Jamal, jika negara maju seperti United Kingdom memilih untuk mempertahankan Stadium Old Trafford yang berusia lebih 100 tahun untuk membina kegemilangan Manchester United, kenapa Selangor tidak boleh mempertahankan Stadium Shah Alam yang berusia 28 tahun demi membina kegemilangan Selangor FC.

Semalam Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta untuk kos penyelenggaraan Stadium Shah Alam selain terpaksa membelanjakan lebih RM30 juta baik pulih sistem perpaipan yang rosak akibat banjir pada 2006 dan 2015.

Sehubungan itu katanya, dakwaan bahawa kerajaan negeri tidak menyelenggara Stadium Shah Alam tidak benar sama sekali.

Terdahulu media melaporkan Stadium Shah Alam bakal dirobohkan dan diganti dengan stadium lebih kecil bagi memudahkan penyelenggaraan selain menjimatkan kos.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: