Politik

Tuduhan dihadapi Ahmad Zahid bersifat terpilih

Kuala Lumpur – Pertuduhan terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai pendakwaan terpilih apabila kes rasuah berkaitan kontrak Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) hanya membabitkan sumbangan politik.

Peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mengetuai pasukan pembelaan, turut mempertikaikan jika sumbangan politik menjadi asas dalam pertuduhan, nama-nama lain disebut saksi dalam pemeriksaan balas mereka perlu disiasat.

Beliau berkata, berdasarkan kenyataan disebut pihak berkuasa, tertuduh (Ahmad Zahid) perlu dianggap berada pada kedudukan sama seperti penerima lain yang juga merupakan ahli politik.

“Ahli-ahli politik berkenaan (yang didakwa menerima dana UKSB) tidak dipanggil sebagai saksi atau mungkin pada peringkat pembelaan, justeru terdapat persoalan boleh dibangkitkan berkaitan mereka.

“Kenapa, kesemua ahli politik disebut tidak didakwa? Kenapa timbalan pendakwa raya cuma membuat pertuduhan (terhadap Ahmad Zahid) apabila beliau berada dalam situasi sama iaitu menerima dana politik?

“Kenapa pasukan pendakwaan tidak bertindak adil berdasarkan kes-kes perundangan seperti dalam negara atau luar sebelum ini dan kesaksamaan berdasarkan undang-undang,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika berhujah pada akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Hisyam turut berhujah mengatakan saksi pendakwaan (SP) Harry Lee Vui Khiun (SP15), Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani (SP16) dan David Tan Siong Sun (SP17) disifatkan sebagai tidak jujur, sukar dipercayai dan tiada kredibiliti

Menurutnya, Harry Lee dan Wan Quoris Shah yang merupakan bekas Pengarah UKSB dan David Tan pula Pengurus Pentadbirannya disifatkan sebagai rakan subahat jenayah tertinggi.

Malah kenyataan kesaksian mereka dalam pemeriksaan balas juga dikatakan bertentangan antara satu sama lain

“Harry Lee, Wan Quoris Shah dan David Tan tiada kredibiliti dan bukti mereka bertentangan dengan umum apabila nama-nama disebut mereka membuat penafian dan direkodkan kepada mahkamah,” jelasnya.

Dalam hujahan bertulis yang dikemukakan kepada mahkamah, beliau memaklumkan terdapat 12 nama diberikan oleh saksi-saksi sebelum ini iaitu Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun.

Masing-masing adalah Saksi Pendakwaan (SP) ke 15, 16 dan 17 yang mana Harry Lee dan Wan Quoris Shah adalah bekas Pengarah UKSB dan David Tan pula Pengurus Pentadbiran syarikat tersebut.

Dalam pemeriksaan balas sebelum ini, mereka menamakan 12 individu penting sebagai penerima dana seperti Khairy Jamaludin Abu Bakar (RM3.7 juta), Datuk Seri Anifah Aman (RM12.02 juta) dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menerimanya melalui Armizan Mohd Ali (RM4.29 juta) dan Aminuddin Arif (RM6.1 juta).

Selain itu, turut disebut terdapat dalam lejar milik UKSB adalah Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (sekitar RM200,000 hingga RM300,000), Tun Dr Mahathir Mohamad (RM2.6 juta) melalui Tan Sri Rahmat Abu Bakar, Tan Sri Ong Kah Chuan (RM920,000), Tan Sri Chan Kong Choy (RM7.8 juta).

Tiga lagi ahli politik iaitu Shahril Sufian Hamdan (RM1.162 juta), Tan Sri Muhyiddin Yassin (RM1.3 juta) dan Datuk Seri Mohd Shafiee Apdal (tidak dinyatakan jumlah) juga disebut sebagai penerima dana UKSB.

Bagaimanapun, mereka menafikan menerima dana daripada syarikat pengendali Visa Luar Negara (VLN) itu dan penafian tersebut dimaklumkan kepada mahkamah.

Malah, David Tan dalam kesaksiannya turut menyatakan enam orang penjawat awam yang mana empat daripadanya bertugas di bawah Jabatan Imigresen dan dua lagi di Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga menerima dana UKSB berjumlah RM2.14 juta.

Dalam pada itu, peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal menerusi hujahannya memberitahu tiada perkara luar biasa dalam permohonan perlanjutan kontrak UKSB dengan KDN yang dibuat lebih awal berbanding tempoh (tidak kurang) enam bulan sebelum tamat.

Beliau memaklumkan demikian dengan memetik semula kenyataan Setiausaha Bahagian (SUB) Parol di KDN, Siti Jalilah Abd. Manap yang bersetuju jika permohonan perlanjutan kontrak boleh dibuat tiga tahun lebih awal.

“Berdasarkan saksi daripada KDN itu, beliau bersetuju permohonan perlanjutan kontra dibuat berdasarkan prosedur yang betul, malah keputusan tertuduh juga dibuat berdasarkan saranan cadangan seperti dalam Minit Ceraian (dokumen berkaitan kontrak).

“Bukti sedemikian (termasuk enam saksi lain daripada KDN) adalah jelas. Tiada yang luar biasa dalam permohonan tersebut ketika Ahmad Zahid menjadi Menteri Dalam Negeri,” tegasnya.

Hakim Mohd Yazid kemudian menetapkan 5 September untuk mendengar hujahan akhir daripada pihak pendakwaan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: