Terkini

Mahkamah lepaskan sementara pasport Shafee untuk ke Australia

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan peguam Muhammad Shafee Abdullah untuk mendapatkan pasport secara sementara bagi membolehkannya ke Australia untuk menghadiri mesyuarat perundangan dengan peguam kanan yang berasal dari United Kingdom.

Hakim Muhammad Jamil Hussin memberikan pelepasan sementara pasport peguam itu mulai 6 September hingga 12 September 2022 selepas timbalan pendakwa raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan tersebut.

Terdahulu, Shafee memaklumkan bahawa terdapat sedikit pembetulan di dalam afidavit sokongan dalam permohonannya untuk mendapatkan pasport, yang sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

“Dalam afidavit hanya menyatakan saya berjumpa peguam kanan Geoffrey Robertson di Melbourne. Saya minta kebenaran kepada Yang Arif supaya ia diubah dengan menambah lokasi Sydney di dalam afidavit itu.

“Ini kerana Geoffrey Robertson mempunyai rumah di Melbourne, tetapi beliau beroperasi dari firma adiknya Martin di Sydney, jadi saya mungkin pergi kedua-dua tempat ini,” kata Shafee.

Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Shafee pula berkata pihaknya memohon agar pasport anak guamnya diserahkan sementara dari 6 September hingga 12 September 2022 dan dipulangkan semula kepada mahkamah 14 September 2022.

Shafee, peguam bela utama bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes berkaitan SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), telah dibenarkan ke luar negara beberapa kali selepas beliau sendiri didakwa di mahkamah.

Peguam berusia 70 tahun itu telah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah pada September 2018 setelah didakwa atas dua pertuduhan menerima RM9.5 juta yang merupakan hasil aktiviti haram melalui dua cek yang dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Shafee juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Pada 12 Mei lepas, pihak pendakwaan telah menutup kes berkenaan selepas memanggil lapan saksi sepanjang perbicaraan yang bermula 21 Mei 2021 dan hujahan lisan ditetapkan pada 15 September di hadapan hakim Muhammad Jamil.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: