Terkini

KKM ambil maklum isu penarikan 2 produk ABC di pasaran Singapura

Kuala Lumpur – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai isu penarikan balik produk Kicap Soya Manis dan Sambal Sos Ayam Goreng berjenama ABC dari pasaran Singapura yang mengandungi bahan alergen yang tidak diisytiharkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Pihak Berkuasa Makanan Singapura (SFA) menarik balik produk berkenaan kerana mengandungi bahan alergen iaitu sulfur dioksida yang tidak dilabel pada pembungkusan.

Menurutnya, sulfur dioksida diklasifikasikan sebagai bahan pengawet yang dibenarkan dalam makanan tertentu dan pada paras tertentu di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Sulfur dioksida tidak berbahaya kepada manusia apabila digunakan dalam kepekatan yang dibenarkan tetapi ianya boleh menyebabkan kesan alergik kepada sesetengah individu yang mengidap lelah atau asma apabila terhidu atau tertelan.

“Kandungan sulfur dioksida melebihi 10 miligram (mg)/kilogram (kg) hendaklah diisytiharkan atau dilabelkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, melalui semakan KKM ke atas data Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) mengesahkan produk Kicap Soya Manis dan Sambal Ayam Goreng jenama ABC tersebut turut diimport ke negara ini.

Menurutnya, walau bagaimanapun, sejak Jun 2021 arahan Tahan Uji Lepas (TUL) telah dikenakan ke atas produk Kicap Soya Manis berjenama ABC di semua pintu masuk negara.

“Arahan pelabelan semula atau arahan untuk dihantar semula ke negara asal turut dikeluarkan sekiranya tidak mematuhi keperluan pelabelan termasuk pelabelan sulfur dioksida.

“Manakala pemantauan yang dijalankan di semua pintu masuk negara dan di pasaran tempatan dari Jun 2021 sehingga kini, tiada sampel produk kicap soya termasuk kicap soya ABC dikesan mengandungi sulfur dioksida,” katanya.

Dr Noor Hisham menegaskan, pihak KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

“Sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu ini dan isu-isu keselamatan makanan yang lain, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.

“Orang ramai juga boleh menyalurkannya melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman rasmi facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” katanya. 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: